Menunggu kenyataan menteri pendidikan: Buka atau tutup?


PADA 7 November yang lalu, jumlah kes aktif Covid-19 adalah 11,666. Kes baharu adalah 1,168. Pada 8 November, sekolah di seluruh negara diarah tutup sehingga 17 Disember.

Apabila ditanya kenapa perlu tutup sekolah di seluruh negara termasuk zon hijau, Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin mengatakan Covid-19 tidak kenal warna.

Di negeri bukan PKPB juga berlaku jangkitan.

Kelmarin, iaitu 7 Januari, jumlah kes aktif adalah 25,221. Kes baharu adalah 3,027.

Tetapi, pelajar kolej matrikulasi diarah kembali ke kolej dan meneruskan program pada 4 Januari 2021, manakala pelajar IPG diarah kembali ke kampus pada 17 Januari 2021. 

Apakah rancangan Kementeri Pendidikan Malaysia (KPM) terkini? Sekolah rendah dan sekolah menengah terus buka pada 20 Januari 2021?

Jangkitan Covid-19 sekarang adalah dua kali ganda lebih serius berbanding dengan situasi pada November yang lalu. 

Adakah menteri kanan pendidikan berpendapat Covid-19 sekarang sudah kenal warna? Ataupun Covid-19 sudah dididik supaya tidak menyerang sekolah?

KPM perlu menjelaskan logik dan garis panduan yang diguna pakai untuk sama ada menutup sekolah. Ibu bapa dan pelajar masih menunggu respons menteri kanan pendidikan dan dua orang timbalan beliau. – 9 Januari, 2021.

* Teo Nie Ching, ahli Parlimen Kulai.
 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen