Kerajaan perlu tarik balik larangan ambil pekerja asing, kata pemborong


Angie Tan

Bekerja di di pasar borong Kuala Lumpur termasuk dalam kategori pekerjaaan 3D iaitu sukar, bahaya dan kotor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2021.

PEMBORONG mendesak kerajaan mempertimbangkan semula larangan mengambil pekerja warga asing di pasar borong Kuala Lumpur di Selayang, apabila semakin ramai pekerja warga tempatan mulai berhenti kerja di situ untuk mencari pekerjaan lain.

Mereka berkata walaupun dasar untuk mengambil pekerja tempatan saja adalah baik, mereka bimbang pekerja ini mungkin mencari kerja lain sebaik saja pandemik Covid-19 dalam keadaan terkawal dan ekonomi mulai pulih.

Setakat ini, ramai pekerja warga tempatan yang bekerja dengan mereka berhenti kerja setiap minggu, kata Presiden Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur Sing Kian Hock.

“Adakah kita akan berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja sekali lagi?,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dasar untuk hanya mengambil warga tempatan bekerja di pasar itu berkuatkuasa sejak 1 Januari tahun ini, dan pemborong berkata ia dapat meningkatkan keadaan bekerja di pasar.

Mereka dapat mencari pekerja warga tempatan dengan mudah pada masa ini kerana impak pandemik terhadap ekonomi, menyebabkan ramai menganggur.

“Pada masa ini, pekerja tempatan mengisi 70% hingga 80% kerja kosong di pasar borong, tetapi bila pandemik sudah terkawal nanti, apa akan jadi bila ekonomi pulih?

“Apatah lagi kerja di pasar borong ini termasuk dalam kategori kerja 3D iaitu susah, bahaya dan kotor,” kata Sing.

Sing berkata walaupun pekerja warga tempatan yang mengisi pekerjaan itu dapat melancarkan keadaan di pasar, sukar untuk mereka terus kekal bekerja.

Daripada 12 pekerja tempatan diambilnya sejak Mei tahun lalu, hanya dua yang masih terus bekerja.

Sing berkata beliau percaya kerajaan perlu membenarkan pekerja warga asing kembali bekerja di pasar itu, dengan syarat mereka ada dokumen sah.

“Ia dasar yang lebih baik untuk jangka panjang, keraja warga tempatan akan berhenti daripada bekerja di sini, cepat atau lambat saja.

“Daripada buang masa cari dan latih orang, lebih baik jika kita kekalkan pekerja warga asing yang boleh bekerja.

“Ramai pekerja warga asing yang sudah bekerja di sini selama 10 tahun dan mereka lebih berpengalaman.”

Sing berkata beliau ada bertemu Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa baru-baru ini untuk menyampaikan kebimbangan pemborong tentang masalah pekerja tetapi kementerian itu masih tidak membenarkan pekerja warga asing diambil bekerja di pasar borong.

Katanya, pasar borong akan sekali lagi berdepan masalah kekurangan pekerja, dan menjejaskan rantaian bekalan dan agihan makanan kepada peniaga, pasar raya dan pasar, jika kerajaan tidak merancang dari sekarang.

Sebagai persiapan untuk masa depan di mana lebih ramai pekerja tempatan dijangka mencari pekerjaan lain, persatuan itu bekerjasama dengan kumpulan pemborong lain mengadakan kempen mencari pekerja, selain terus menekan kerajaan untuk memberi kuota pengambilan pekerja warga asing. – 9 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen