Pantau Jendela dengan lebih berkesan


WALAUPUN Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah mengesahkan bahawa Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) telah memenuhi sasaran yang ditetapkan untuk tahun 2020, strategi dan mekanisme pelaksanaan untuk fasa seterusnya pada tahun 2021 dan tahun-tahun berikutnya harus dipantau secara berterusan dan memadai demi kelancaran dan kelestarian pelan tersebut.

Ini merangkumi isu-isu berkaitan cabaran, prestasi dan kemajuan pelan untuk memastikan bahawa matlamat utama dalam menyediakan akses berkualiti tinggi terhadap sambungan digital di seluruh negara kepada semua rakyat Malaysia tidak akan terganggu atau diperlahankan.

Bagaimanapun, kerajaan komited untuk giat memperbesar dan menerapkan Jendela pada tahun 2021 dalam meningkatkan lebih liputan dan penggunaan jalur lebar di seluruh negara demi memenuhi permintaan yang dijangkakan lebih tinggi semasa norma baru serta mendorong ekonomi digital baru muncul.

Walaupun munculnya Covid-19 dapat meredam usaha pelaburan kerajaan demi pertimbangan keutamaan penting terhadap kesihatan awam dan ekonomi, kerajaan tetap mengetengahkan rencana Jendela untuk memastikan bahawa transformasi digital dapat direalisasikan di negara ini.

Usaha hebat ini tidak boleh diganggu walau dalam apa jua keadaan, terutamanya oleh wabak kerana ia akan memacu matlamat negara dalam membawa Malaysia ke tahap pembangunan negara yang seterusnya.

Ia juga merupakan inisiatif penting negara kita untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar melalui penyambungan digital yang lebih baik kepada rakyat.

Ia amat melegakan kerana pelaksanaan Jendela telah mencapai sasaran yang ditetapkan tahun ini walaupun dihujani berita-berita mengenai akses Internet yang kurang memuaskan di Malaysia.

Oleh itu, kita dapat menganggap di sini bahawa kemungkinan terdapat sesuatu yang telah kerajaan lakukan dalam menangani masalah tersebut dengan berkesan.

Namun begitu, kerajaan harus lebih spesifik terhadap pencapaian Jendela pada tahun 2020 supaya rakyat dapat benar-benar melihat hasil rencana tersebut, terutamanya bagi kawasan luar bandar yang mempunyai akses Internet yang masih lemah.

Seperti yang dinyatakan dalam laporan fasa pertama Jendela, fasa berikutnya sekitar 2021 hingga 2022 mempunyai target lebih besar yang ingin dicapai berbanding tahun lalu, iaitu mencapai sekitar 96.9 peratus liputan Internet 4G bersama dengan kelajuan 35Mbps serta perancangan dan persiapan infrastruktur 5G.

Dengan mempertimbangkan hal itu, fasa seterusnya yang memerlukan pelaburan sekitar RM7.5 juta akan memerlukan proses pelaksanaan yang lebih dari kebiasaan berbanding tahun 2020, lebih-lebih lagi dari segi kualiti dan kuantiti pelaksanaan serta pemantauan yang lebih baik.

Kerajaan harus tekun memastikan pelaksanaannya akan tepat pada masanya atau mungkin lebih pantas dari biasa bagi menampung permintaan Internet gara-gara norma baharu semasa memerangi wabak Covid-19.

Pada tahun 2020, iaitu fasa pertama Jendela, sebanyak RM4.95 juta telah diperuntukkan bagi mencapai sasaran 91.8 peratus liputan 4G, kelajuan mudah alih 25Mbps dan pelaksanaan projek demo 5G.

Memandangkan ini mungkin sasaran yang telah dicapai untuk 2020, ternyata ia masih belum jelas kerana kita masih melihat beberapa perkara yang tidak menyenangkan muncul di media massa mengenai kelemahan sambungan Internet kita, apatah lagi pembangunan infrastruktur digital yang kemungkinan terhalang gara-gara wabak Covid-19.

Pandemik Covid-19 juga mencetuskan kenaikan lalu lintas Internet dari 30 hingga 70 peratus dan penurunan kelajuan Internet antara 30 hingga 40 peratus, justeru menggambarkan bahawa permintaan Internet adalah lebih tinggi semasa norma baru dan kemungkinan akan meningkat lagi kemudian hari.

Sambungan internet terhad ternyata masih dihadapi oleh rakyat di tengah-tengah krisis Covid-19, di mana seharusnya sambungan Internet yang stabil diperlukan bagi membantu urusan harian mereka berdasarkan keadaan semasa, seperti pendidikan dalam talian, e-dagang dan komunikasi maya.

Maka diharapkan ia dapat dibaik pulih dengan lebih lanjut pada fasa Jendela yang seterusnya bagi memastikan kelestarian dan keberkesanan akses Internet kita.

Ini juga petanda bahawa kerajaan mempunyai lebih banyak ruang untuk diperbaiki dalam memudahkan pembangunan rencana Jendela pada tahun 2021, khususnya ke arah infrastruktur penyambungan yang lebih lestari dan inklusif untuk seluruh rakyat.

Oleh itu, usaha penambahbaikan ini harus melengkapkan fasa Jendela seterusnya bagi menangani cabaran yang dihadapi sebelum ini kerana tahun-tahun berikutnya akan memberikan lebih banyak cabaran berikutan krisis Covid-19 yang berlanjutan, khususnya gelombang ketiga jangkitan Covid-19 yang sukar diramalkan kesudahannya.

Jika tidak, negara kita akan berada di takuk yang lama dengan memiliki infrastruktur digital yang kurang maju tanpa penambahbaikan berterusan, kemudian mengganggu usaha negara untuk menjayakan pelan transformasi digital.

Ia mungkin sukar untuk mencapai objektif akses Internet yang penuh kepada seluruh penduduk negara tetapi ianya tidak mustahil jika dilengkapi dengan bantuan pemantauan ketat dan pengawasan kerajaan yang lebih berkesan serta kerjasama baik oleh pihak berkuasa berkaitan seperti kerajaan negeri.

Bagi mencapai kerjasama strategik dengan kerajaan negeri untuk memastikan bahawa projek itu berhasil dan diperkukuhkan lagi pada fasa-fasa berikutnya, kerajaan pusat harus mengesahkan bahawa kerajaan negeri mendapat informasi tepat mengenai strategi pelaksanaan Jendela supaya dapat menyokong persiapan asas dan mewujudkan kejayaan akhirnya demi rakyat.

Dengan memetik negeri Johor sebagai contoh, kerajaan telah memperuntukkan RM2 juta untuk fasa ketiga Johor Wifi 2.0 bagi sambungan Internet yang lebih baik, terutamanya di kawasan luar bandar.

Seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan Dan Budaya Negeri, Mazlan Bujang, tindakan ini juga adalah sejajar dengan rancangan Jendela.

Aspek kerjasama strategik antara kerajaan pusat dan negeri dalam pelaksanaan Jendela turut memerlukan pemantauan ketat bagi memastikan kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan tidak akan ketinggalan, misalnya dalam memberikan persetujuan yang diperlukan untuk pembinaan utiliti seperti menara telekomunikasi dan pemasangan gentian optik.

Hal ini sangat penting buat rakyat di kawasan luar bandar dan kawasan lain yang belum mendapat akses Intenet - berdasarkan tender baru untuk pemain industri telekomunikasi yang melangkaui skop dan piawaian Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sebelum ini.

Tanpa adanya pemantauan mantap untuk strategi pelaksanaan Jendela pada tahun-tahun mendatang, pencapaian objektif sebenar rancangan tersebut, iaitu menjadi masyarakat berasaskan digital yang berdaya saing, dinamik, berdaya tahan dan diperkaya mungkin tidak dapat direalisasikan. – 8 Januari, 2021.


* Farhan Kamarulzaman, Pembantu Penyelidik di EMIR Research.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen