Perikatan goyah, salah DAP


SEMUA tahu air takkan mahu bercampur dengan minyak. Begitulah DAP dan Umno.

Bukan kerana isu kaum terbesar dalam kedua-dua parti politik tersebut, tapi lebih kepada prinsip dan hala tuju berbeza yang dimiliki kedua-dua parti.

Sejak belakangan ini timbul ura-ura bahawa Umno sedang mempersiap akar umbi bagi menjalin kerjasama bersama seteru zaman-berzaman mereka dalam kancah politik iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Namun, reaksi pimpinan DAP amat konsisten sejak penghujung tahun lepas bahawa DAP menolak kerjasama bersama kleptokrat, seperti kata veteran DAP, Lim Kit Siang merangkap ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Aneh sekali apabila Umno yang sering menyebar propaganda puluhan tahun sebelum ini bahawa DAP anti-Melayu, anti-Islam dan sebagainya kini cuba mengheret DAP dalam permasalahan mereka dalam parti kerajaan dengan membuat ura-ura kerjasama mustahil ini.

Umno dan PAS yang arif dalam permainan politik perkauman amat bertentangan dengan prinsip DAP sebagai sebuah parti berbilang bangsa yang bercita-cita mewujudkan sebuah Malaysia yang aman dan rukun bersama untuk semua lapisan masyarakat. Mustahil kerjasama yang digembar-gemburkan mudah untuk dilaksanakan.

Ketika negara masih dibelenggu pandemik dengan catatan kes naik memuncak dan musibah bah besar yang melanda beberapa negeri, menteri-menteri diam membisu, terutama sekali Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Namun, jangan kita tak tahu, sebenarnya mereka (Umno, Bersatu dan PAS) aktif mengatur permainan politik ketika posisi mereka sudah semakin goyah. Akhirnya, DAP diheret dalam permasalahan tersebut.

Annuar Musa yang baru-baru ini dipecat daripada jawatannya didalam parti Umno, tiba-tiba mengeluarkan satu kenyataan tidak masuk akal bahawa Umno dan DAP akan bekerjasama untuk mewujudkan sebuah kerajaan baharu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataannya mengatakan bahawa Annuar mempunyai lidah biawak dan “desperado” kerana jika benar kerjasama itu wujud, dirinya sebagai SU Agung DAP sudah pasti mengetahuinya dulu, tetapi tidak! Tiada perbincangan dibuat mengenai jalinan kerjasama seperti yang diwar-warkan Annuar Musa.

Beliau yang dibuang jawatan parti dan ditinggalkan kawan-kawan, akhirnya memilih mengheret DAP (seperti selalunya) dalam pertelingkahan mereka dan ini sudah pasti ada udang di sebalik batu.

Umno juga baru-baru ini mengeluarkan satu kenyataan agar PRU diadakan selewat-lewatnya pada penghujung suku pertama tahun ini, namun DAP dan parti-parti pembangkang lain merasakan ia adalah satu tindakan tidak wajar ketika negara dan rakyat masih bertarung dengan penularan Covid-19.

Umno dan parti komponen kerajaan lain wajib melaksanakan tugas dan amanah yang mereka terima setelah rampasan kuasa menerusi Langkah Sheraton pada penghujung Februari tahun lalu.

Permainan politik dalam waktu genting ini perlu dihentikan segera lebih-lebih lagi nyawa dan kehidupan rakyat yang dipertaruhkan. – 8 Januari, 2021.

* Ghafar NS ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen