POLIS mempertimbangkan tindakan ke atas seorang pegawainya yang disiasat kerana disyaki terlibat dengan kegiatan penyeludup bersenjata di sempadan Malaysia - Thailand di Perlis.
Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan pegawai itu dikaitkan dengan individu yang disyaki terlibat dalam kejadian tembakan mengorbankan anggota polis November lalu.
“Memang ada keterangan menunjukkan beliau bersama-sama dengan mereka yang terlibat. Dalam hal ini, mungkin kita akan ambil tindakan peringkat jabatan terhadap pegawai tersebut,” katanya.
Pegawai berkenaan yang kini masih lagi bertugas mungkin akan dikenakan tindakan tatatertib, kata Acryl Sani dalam sidang media hari ini.
Tambahnya, dua suspek utama kes berkenaan juga dilepaskan dengan jaminan polis dan masih disiasat untuk kes lain.
Kejadian tembak-menembak itu mengorbankan anggota batalion Senoi Praaq dari Pasukan Gerakan Am, Baharuddin Ramli, 54, dan rakan setugasnya Norihan Tari, cedera parah.
Dua individu yang dikaitkan dengan penyeludup tersebut ditahan tidak lama selepas kejadian pada 24 November.
Menurut polis Perlis, empat lagi suspek daripada keseluruhan 13 orang penyeludup ditahan pihak berkuasa Thailand. Keempat-empatnya dilaporkan mengalami kecederaan.
Penyeludup berkenaan disyaki membawa sehingga 500 kilogram daun ketum dan seguni ubat batuk semasa bertembung dengan mendiang Baharuddin dan Norihan di Tembok Sempadan 9 di perbatasan Malaysia - Thailand. – 8 Januari, 2021.
Komen