Kerajaan digesa pertimbang semula buka sekolah


Noel Achariam

Pelajar perlu memastikan pematuhan SOP bagi mengelakkan penularan Covid-19 di sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2021.

KERAJAAN perlu pertimbangkan rancangan untuk membuka semula sekolah pada 20 Januari ketika kes Covid-9 melonjak dan banjir besar di pantai timur, kata  Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN).

Persatuan itu berkata Putrajaya boleh mempertimbangkan untuk membuka sekokah secara berperingkat, memberi keutamaan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan. 

“Untuk permulaan kerajaan perlu benarkan pelajar yang akan menduduk peperiksaan untuk kembali ke sekolah. 

“Ini penting kerana mereka memerlukan interaksi secara bersemuka dengan guru untuk persediaan. Ia tidak sama dengan pembelajaran dalam talian,” kata Presiden PIBGN Prof Dr Mohamad Ali Hasan. 

Katanya Kementerian Pendidikan boleh bermula dengan Tingkatan Empat, Lima dan Enam dan kemudian membuka secara beransur kepada kelas bawah apabila kes berkurangan dan banjir reda. 

“Ini boleh dilakukan apabila semua sudah divaksin dan kes terkawal,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Putrajaya sebelum ini mengumumkan sesi persekolahan akan bermula pada 20 Januari walaupun kerajaan mungkin akan beralih kepada pembelajaran dalam talian kerana peningkatan kes. 

Peperiksaan SPM dan STPM bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam juga ditangguh ke suku pertama tahun ini. 

Semalam, Malaysia merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi selepas melaporkan 3,027 jangkitan. Rekod baharu itu menjadikan jumlah kes kumulatif 128,465. 

Lapan kematian turut dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 521.

Terdapat 25,221 kes aktif Covid-19 seluruh negara yang mana 142 daripadanya dirawat di unit rawatan rapi. 

Ali turut menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada guru dan kakitangan sekolah dalam program pemvaksinan pada akhir Mac. 

Katanya guru juga perlu dianggap sebagai petugas barisan hadapan kerana mereka perlu berdepan dengan ribuan pelajar. 

“Sudah pasti kita mementingkan pelajaran sempurna kepada anak-anak kita, namun jumlah kes masih meningkat dan sudah melangkaui 3,000 kes. 

“Ia juga penting untuk guru dan kakitangan divaksin sebaik sahaja vaksin ada. Justeru perlu ada usaha bagi memastikan keselamatan pelajar,” katanya. 

Ibu bapa perlu buat keputusan 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim berkata prosedur operasi standard perlu diperketatkan bagi mengatasi keraguan ibu bapa untuk menghantar anak mereka kembali ke sekolah. 

“Sekolah perlu dibuka semula namun dalam keadaan yang belum pernah berlaku ini, ibu bapa diberi pilihan untuk memutuskan sama ada mereka mahu anak mereka hadir.”

Menurutnya, ia turut menjadi tanggungjawab pendidik bagi memastikan anak-anak tidak bergaul bagi mengelakkan jangkitan. 

“Pemimpin sekolah dan guru boleh diberi tugasan ini dan mengambil tindakan yang perlu.”

Beliau turut mengakui cuti sekolah yang panjang juga akan memberi kesan kepada perkembangan pelajar. 

“Sudah pasti pendidikan kanak-kanak di setiap tahap terjejas. Oleh itu selain peperiksaan, penilaian aktiviti perlu dipertimbangkan. 

“Kita juga belum mencapai tahap yang perlu untuk pembelajaran dalam talian kerana pelajar sudah tertinggal satu tahun akademik.”

Azimah turut menggesa kerajaan untuk hentikan berpolitik dan memfokuskan kepada pelajar Tingkatan lima dan Enam kembali dalam jumlah yang terkawal. 

“Mereka perlu duduki peperiksaan percubaan dan sedia untuk penangguhan peperiksaan utama.” – 8 Januari, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen