Jika ada PKP bersasar mesti diiringi bantuan kewangan


DILAPORKAN semalam Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah telah memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan supaya adanya ‘pemutus litar’ (circuit breaker) seperti PKP yang bersasar di beberapa tempat bagi membendung wabak Covid-19. 

Apa yang diusulkan KKM ini tidak memeranjatkan. Semalam Malaysia sekali mencatatkan kes harian tertinggi dengan 2,593 kes positif, memecah rekod sebelum ini iaitu 2,525 kes pada 31 Disember 2021.

Kes kumulatif juga sudah melangkaui 120,000 dengan lebih 500 daripada kematian.

Di samping itu, Dr Noor Hisham juga dilaporkan berkata sistem kesihatan negara  kini sedang berada pada tahap genting (breaking point). Oleh itu, sesuatu yang drastik mesti dilakukan untuk memutuskan rantai jangkitan Covid-19 dalam masyarakat.

Sekiranya cadangan KKM untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar ini dilaksanakan, kerajaan harus juga mempertimbangkan impak kepada ekonomi dan rakyat di tempat-tempat PKP bersasar ini dilaksanakan, sekiranya ia melibatkan penutupan sektor ekonomi.

Harus diingatkan bahawa PKP dan PKP Bersyarat yang dilaksanakan sebelum ini telah mengakibatkan kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan dan impak negatif kepada orang ramai. 

Bantuan yang diberikan sebelum ini juga tidak cukup besar dan tidak cukup meluas, sehinggakan rakyat terpaksa bergantung harap pada simpanan KWSP mereka.

Sekiranya terdapat penutupan sektor ekonomi dengan PKP bersasar ini, kerajaan digesa untuk memastikan ia diiringi dengan bantuan kewangan yang lebih besar dan lebih meluas kepada setiap lapisan masyarakat. 

Jika tidak, ia akan membawa kesan yang buruk ke atas situasi kewangan rakyat dan rakyat akan terus menderita.

Kerajaan telah digesa sebelum ini untuk memaklumkan kepada rakyat tentang pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang untuk negara menghadapi krisis Covid-19 yang semakin meruncing. 

Malangnya, setakat ini perancangan kerajaan masih tidak kelihatan dan parti-parti dalam kerajaan seperti lebih berminat untuk mengadakan mesyuarat politik daripada menenangkan kegusaran rakyat dan menjadikan langkah membendung Covid-19 sebagai prioriti. – 7 Januari, 2021.    

 * Syahredzan Johan adalah setiausaha politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen