Ambil vaksin setiap tahun, jangan alpa risiko influenza


ANDA mengalami batuk, demam dan sakit badan? Anda mungkin tertanya-tanya sama ada anda menghidap Covid-19 atau influenza.

Namun, doktor tidak akan dapat membezakannya melainkan ujian untuk kedua-dua penyakit berjangkit tersebut dijalankan.

Anda mungkin berasa lega apabila doktor mengesahkan bahawa anda tidak menghidap Covid-19. Namun anda juga pasti terkejut jika didapati mengalami serangan influenza yang teruk.

Oleh itu, pakar kesihatan awam menasihatkan masyarakat tidak melupakan risiko jangkitan flu atau influenza walaupun sewaktu kita bimbang kepada Covid-19.

Ini kerana influenza berisiko menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa seperti pneumonia dan kegagalan organ, menurut seorang pakar perubatan Profesor Zulkifli Ismail.

Beliau yang mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal program Immunise4Life, sebuah sekretariat kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia berkata, risikonya besar kepada pesakit kronik.

“Ia boleh memburukkan lagi keadaan pesakit kronik seperti mereka yang mempunyai penyakit jantung, asma dan diabetes,” kata pakar perunding pediatrik dan pakar kardiologi pediatrik itu.

Beliau juga mengingatkan, flu boleh menjangkiti sesiapa sahaja dan sesetengah individu lebih berisiko mendapat jangkitan dan komplikasi yang parah.

Ini termasuk penghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi atau diabetes dan juga individu yang kurang daya tahan jangkitan, kata Zulkifli yang bertugas di Hospital KPJ Selangor.

Selain itu, ia juga boleh menjangkiti wanita hamil, kanak-kanak berumur di bawah 5 tahun atau individu berumur 60 tahun dan ke atas, kata pakar pediatrik dan kardiologi pediatrik itu.

Oleh itu, beliau menyarankan individu ini mendapatkan vaksinasi influenza setiap tahun kerana ia instrumen terbaik bagi mencegah penyakit dan komplikasi parah akibat flu.

Pengambilan vaksin ini dapat mengelakkan individu dimasukkan ke hospital disebabkan flu dan juga mengelak tekanan ke atas sistem perubatan awam, katanya.

Dengan itu, sumber perubatan di hospital awam akan dapat ditumpukan bagi pesakit Covid-19 dan pesakit lain ketika pandemik.

“Mereka yang muda dan sihat juga akan mendapat manfaat apabila mendapatkan vaksinasi flu secara tahunan.

“Ianya akan mengurangkan risiko untuk dijangkiti dan membolehkan mereka untuk terus bekerja, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang sukar kini,” katanya.

Tambahnya, vaksin influenza juga perlu diambil untuk mengelakkan sebaran penyakit tersebut kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak dan warga tua.

Seorang lagi pakar kesihatan, Profesor Zamberi Sekawi berkata, vaksin influenza perlu diambil untuk mengelak kesan lebih buruk yang akan berlaku jika seseorang individu turut menghidap Covid-19.

“Anda juga boleh menghidap penyakit influenza dan Covid-19 secara serentak,” kata pakar mikrobiologi klinikal itu.

Pengerusi Malaysian Influenza Working Group itu menjelaskan, jangkitan influenza meningkat pada hujung dan awal tahun, maka setiap individu berisiko menghidap kedua-duanya.

“Oleh sebab kes influenza di negara kita biasanya meningkat pada hujung tahun hingga ke beberapa bulan pertama tahun berikutnya, terdapat kebimbangan bahawa Malaysia mungkin menghadapi pertembungan penyakit Covid-19 dan influenza.

“Menghidap salah satu daripadanya pun sudah dianggap teruk, apatah lagi kedua-duanya, serentak. Sebab itulah sebelum lonjakan bilangan pesakit di hospital berlaku, penting bagi semua untuk mendapatkan vaksin terhadap influenza.

“Terutama sekali golongan yang berisiko tinggi, kerana ia boleh melindungi mereka daripada salah satu penyakit tersebut,” katanya.

MIWG yang dipengerusikannya adalah jawatankuasa gabungan pakar yang tertumpu kepada flu. I ditubuhkan bawah naungan Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia (MSIDC).

Zamberi seterusnya menasihati orang ramai untuk mendapatkan vaksin influenza setiap tahun untuk mengemaskini perlindungan agar lebih efektif dalam memerangi strain virus tersebut.

Beliau memberi jaminan, vaksin influenza yang terdapat di Malaysia diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan selamat untuk digunakan.

“Pengambilan vaksin influenza terbukti selamat dan boleh digunakan untuk semua peringkat umur. Seperti kebanyakan ubat dan vaksin lain, vaksin influenza mungkin ada beberapa kesan sampingan.

“Namun, ia tidaklah teruk dan biasanya akan hilang dalam beberapa hari. Contoh kesan sampingan yang biasa berlaku termasuklah demam ringan, bengkak atau kemerah-merahan di tempat suntikan, sakit otot dan sakit kepala,” katanya.

Kebanyakan negara juga menawarkan vaksin yang selamat itu secara percuma di bawah program imunisasi kebangsaan terutamanya kepada warga emas, tambahnya.

Beliau juga menjelaskan, vaksin influenza turut diberikan oleh KKM kepada petugas kesihatan barisan hadapan serta pesakit dalam kumpulan berisiko tinggi.

Katanya, ini melibatkan individu yang menghidap penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), diabetes dan penyakit jantung.

Bermula tahun hadapan, buat pertama kalinya, individu yang mengambil vaksin influenza untuk diri sendiri, pasangan serta anak-anak layak mendapat pelepasan cukai.

Perbelanjaan mendapatkan vaksin juga lebih rendah berbanding kos wang ringgit dan masa  sekiranya diri anda atau orang tersayang dimasukkan ke hospital akibat komplikasi influenza.

Walaupun tiada jaminan 100% untuk tidak dijangkiti influenza setelah mendapat suntikan vaksin dan gejala yang dialami mungkin lebih ringan berbanding individu yang tidak mendapatkan vaksin.

Kadar pengambilan vaksin influenza menurun sejak bulan Mac lalu, mungkin disebabkan oleh ketakutan dijangkiti penyakit Covid-19 di klinik atau hospital atau kerana kawalan pergerakan.

Tapi inilah waktu yang baik untuk membuat temujanji bagi mendapatkan vaksinasi flu, tidak kira sama ada untuk pertama kali atau mendapatkan vaksinasi tahunan.

Peluang untuk melindungi diri dan keluarga anda daripada penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin tidak seharusnya diabaikan.

Tunjukkanlah kepada orang tersayang bahawa anda mementingkan kesihatan mereka dengan membantu mereka dan diri anda daripada terkena penyakit influenza.

Kempen Cegah Flu, Norma Baharu merupakan lanjutan kepada Kempen Pencegahan Flu, Pengikat Kasih Sejati dalam program Imunise4Life.

Program Immunise4Life ditubuhkan sejak 2013 oleh KKM, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dan Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia (MSIDC).

Ia kekal sebagai kempen pencegahan influenza yang terbesar di Malaysia sejak Malaysia dilanda wabak influeza A (H1N1) pada tahun 2009.

Kempen yang dijalankan dengan Kerjasama Malaysian Influenza Working Group dan disokong oleh inisiatif Vaccination Is Protection melibatkan pelbagai pakar perubatan dan selebriti.

Mereka menyokong kempen ini dengan menjalani temubual bersama media dan artikel, mesej perkhidmatan awam yang berimpak tinggi, video yang berinspirasi, dan konsert atas talian.

Kempen ini juga mendapat sokongan daripada pelbagai kumpulan, termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rotary Club District 3300, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Turut menyokong, Persatuan Tadika Malaysia (PTM), Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) dan Majlis Kebangsaan Persatuan-Persatuan Warga Emas Malaysia (NACSCOM).

Ia turut mendapat sokongan University of the Third Age (U3A) dan Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas SeMalaysia (AgeCope).

Lebih banyak aktiviti sedang dirancang untuk menggalakkan masyarakat supaya mengambil peranan aktif dalam perlindungan keluarga dan komuniti daripada jangkitan influenza. – 8 Januari, 2021.

* Rencana ini disediakan oleh sekretariat Immunise4Life. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kempen ini, sila layari www.actoflove.ifl.my.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen