Banjir Pantai Timur makin buruk 


KEADAAN banjir di Pantai Timur bertambah buruk hari ini dan turut meragut satu lagi nyawa manakala jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat.

Mayat penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ukai Iskandar Zulkarnain ditemukan pagi tadi selepas tiga hari dilapor hilang di Sungai Puas Kampung Gintong, Jerantut, Pahang.

Mangsa berusia 23 tahun itu adalah korban kelapan selepas hanyut bersama bapanya Zulkarnain Hitam, 58, yang juga ditemukan lemas pada hari kejadian.

Sehingga kini, lima negeri yang dilanda banjir akibat hujan lebat dan peningkatan paras air sungai iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Perak sementara hanya Johor dan Perak mencatat penurunan jumlah mangsa di PPS sehingga petang tadi manakala banjir di Selangor pulih sepenuhnya.

Keadaan buruk yang menimpa rakyat itu mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila menitahkan pihak berkuasa supaya lebih proaktif menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap di pedalaman.

Seri Paduka bertitah, baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah membaca beberapa hantaran meminta pertolongan dimuat naik di media sosial seperti Twitter oleh mereka yang terdesak memerlukan bantuan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak 8,653 pegawai dan anggota polis daripada enam kontinjen negeri telah dilibatkan bagi bantuan operasi banjir, selain 1,329 pelbagai aset kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diaturgerak.

Katanya, 1,662 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut dikerah untuk membantu mangsa banjir di negeri-negeri terlibat selain pelbagai aset kenderaan dan strategik telah dan sedia untuk diaturgerak bagi operasi membantu dan menyelamat mangsa banjir.

Selain itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini turut memaklumkan telah menghantar lebih satu tan bekalan makanan dan barangan keperluan asas ke kawasan terjejas banjir menerusi Op Murni di Pahang sejak Isnin lepas. – Bernama, 6 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen