Nasib Perikatan hari ini


Hasmi Hashim

PERTAMA: Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan yang gagal. 

Gagalnya PN disebabkan adanya pihak yang tidak berjaya memenuhi sasaran menarik lebih ramai ahli Parlimen ketika “Langkah Sheraton”, Mac tahun lalu.

Misalnya, hanya sembilan ahli Parlimen PKR berjaya dicuri bagi menyokong PN.

Kita boleh membuat kira-kira, kalau separuh yakni 20-25 ahli Parlimen PKR berjaya dicilok—mungkin begitu perancangan awalnya—maka kerajaan PN akan cukup kuat.

Kegagalan memenuhi matlamat berkenaan memberi kesan sangat buruk, khususnya dalam soal ekonomi. Akui ramai pemimpin Umno, banyak pelabur telah berpindah ke negara lain yang keadaan politiknya lebih stabil.

Namun, itu juga harga yang Umno perlu bayar kerana terlanjur menjadi hulu keris ketika gerombolan yang tidak bernama merampas kuasa.

Kemudian barulah gelombolan berkenaan dikenali sebagai PN.

Umno yang turut mendatangkan masalah kepada negara, Umno juga perlu menamat dan melunaskannya. Di situ rakyat akan menilai jasa, peranan dan keikhlasan Umno.

Kedua: ditambah dengan politik dalaman PN, antara Umno-Bersatu, dan antara Umno-PAS; maka Umno jelas tidak punya masa depan di sana.

Bisa racun yang diminum oleh Umno bukan sahaja menyerang saraf di peringkat atas, tapi sudah meresap sampai ke akar umbi.

Tindak balasnya dapat dilihat apabila majoriti bahagian-bahagian Umno menolak kerjasama dengan “Parti Bunga”. 

Jolokan itu diberikan oleh Ketua Bahagian Umno Padang Rengas, Nazri Aziz ketika mengulas usaha Bersatu mencuri ahli Umno di Perak.

Kata Nazri, “Parti Bunga” membayar sehingga RM20 ribu untuk penubuhan satu cawangan parti berkenaan.

Kalau tidak berbuat begitu, Parti Bunga terpaksa menunggu 20 tahun untuk bayi yang lahir hari ini menyertai parti mereka. Rata-rata orang Melayu dewasa sudah memilih atau menyertai parti sedia ada.

Kalau tidak dicuri daripada Umno, Parti Bunga tidak akan kuat di bawah. Nasibnya akan sama seperti Parti Melayu Semangat 46 (S46) dahulu. Dalam beberapa tahun, bungkus!

Suara penolakan terhadap Parti Bunga bukan sahaja berkumandang di Perak, tetapi juga di banyak negeri lain sama ada Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Bahkan di Kelantan dan Terengganu, penolakan seumpama termasuk terhadap PAS.

Maknanya, di negeri dikuasai PAS seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, komplot untuk meracuni dan menimbus Umno hidup-hidup juga dilakukan bersama antara PAS dengan Parti Bunga. 

Memang aneh sekiranya Umno di peringkat pusat masih mahu mempertahankan kerjasama dengan PAS.

Kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) sama sahaja dengan membunuh akar umbi Umno di ketiga-tiga negeri berkenaan.

Ketiga: demi kelangsungan hidup, sudah sampai masa Umno meninggalkan bahtera PN yang terumbang-ambing dan terbukti gagal berfungsi sebagai sebuah kerajaan.

Pun begitu, boleh difahami apabila wujud dilema atau kekusutan strategi yang dihadapi Umno sekarang.

Di saat masih teragak-agak mahu meninggalkan PN, Umno juga menuntut pilihan raya mengejut diadakan. Tapi nampaknya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga tidak sesembab yang disangka.

Muhyiddin tidak akan menari mengikut rentak Umno. Dia tahu, rentak Umno juga mahu membunuh Parti Bunganya.

Lebih baik Muhyiddin terus mencuri masa sehinggalah dia betul-betul bersedia. Gunalah apa juga alasan sama ada yang masuk akal atau tidak, janji semua persiapan bala tentera Parti Bunga perlu cukup dahulu.

Sementara itu wabak Covid-19 adalah alasan menangguh tuntutan. Perlu diingatkan, meski pun vaksin dijangka tiba bulan depan, keselamatan dan kesihatan rakyat tetap belum terjamin.

Selain vaksin belum teruji, kewujudan mutasi baru Covid-19 juga sangat membimbangkan.

Walaupun puluhan negara lain di dunia mengadakan pilihan raya ketika pandemik, namun pilihan raya mereka kerana memang sudah sampai tempoh matangnya. Tidak boleh dielak.

Di Malaysia, tempoh matang untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) belum sampai. Ada lagi kira-kira dua tahun—sampai 2023.

Keempat: sebenarnya PRU segera atau mengejut (“snap election”) hanyalah nama lunak kepada pilihan raya semula (“re-election”).

Perkara inilah yang tidak disebutkan atau dijelaskan kepada rakyat.

Ia merupakan “re-election” kerana tempoh matang PRU masih berbaki dua tahun.

Kalau sekali ini PRU boleh diadakan hanya dalam tempoh 2-3 tahun selepas PRU lalu, di lain kali dibimbangi pihak yang kalah juga akan mencari helah menuntut “re-election” yang dinamakan “PRU segera” lagi.

Di mana-mana pun di dunia, selalu pihak yang mendesak pilihan raya segera, mengejut atau mudahnya “re-election” itu adalah pihak yang kalah.

Samalah halnya dengan desakan untuk mengadakan kiraan semula oleh kem Donald Trump dalam pilihan raya presiden, November 2020 lalu.

Trump kalah dalam pemilihan— samalah seperti Umno-Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU 2018–dan dia tidak mengikhtiraf kemenangan Joe Biden dan Demokrat.

Bezanya, sistem dan undang-undang pilihan raya di Amerika Syarikat adalah lebih ketat dan tidak sesiapa boleh berbuat sesuka hati.

Tidak sesiapa boleh memanggil pilihan raya mengejut untuk menyelamatkan diri.

“Pilihan segera” merupakan sejenis penolakan terhadap mandat rakyat. Umno-BN boleh dilihat sebagai pihak yang tidak mengakui kekalahan, dan telah pula bersekongkol dengan golongan pemberontak dan pengkhianat. Imej buruk ini perlu dibaiki.

Kelima: bagi melerai kekusutan dan demi mewujudkan kerajaan lebih stabil untuk dua tahun ke depan, Umno perlu keluar daripada PN. Pembentukan kerajaan campuran hendaklah dibentuk segera.

Ada maklumat memberitahu, akar umbi Umno menolak kerjasama dengan DAP—meski tidak begitu bermasalah dengan PKR atau Amanah.

Pembentukan kerajaan baharu pasca kejatuhan PN itu tidaklah bererti perlu wujud pula kerjasama langsung antara Umno-DAP.

Kerajaan campuran adalah tidak lebih bagi menyelesaikan ketidak-stabilan kerajaan PN. Memadai setakat itu.

Sebab itulah namanya “kerajaan campuran”. Dalam perbandingan lain, Umno kini juga tidak mempunyai hubungan langsung dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Banyak parti di dalam GPS telah meninggalkan BN selepas PRU lalu.

Di bawah kerajaan baharu yang stabil, ‘hubungan’ Umno-DAP seumpama hubungan Umno-GPS sekarang.

Memang keadaan ini kelihatan aneh, tetapi seperti ungkapan mantan presiden Umno, Najib Razak, kita perlu berani melakukan sesuatu yang luar biasa dalam keadaan yang luar biasa.

Setidak-tidaknya satu masalah terbesar—kerajaan PN yang tidak stabil—dapat diselesaikan. Dua tahun ke depan bagi nasib sebuah bangsa seperti Malaysia adalah masa yang cukup panjang.

Dua tahun sebelum tempoh matang untuk mengadakan PRU boleh digunakan untuk membaiki dan memacu semula ekonomi rakyat dan negara yang rosak akibat peninggalan 22 bulan era pentabiran Dr Mahathir Mohamad, dan sembilan bulan di bawah PN.

Tutup buku lama. Buka buku baru. Baru kuat tanahairku. – 6 Januari, 2021.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen