Jualan daging di pasar raya merosot selepas pendedahan sindiket daging haram


Ravin Palanisamy

Penurunan jualan paling ketara di kedai yang mempunyai ramai pelanggan Melayu yang beralih kepada daging tempatan berbanding import. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2021.

SEKURANG-KURANGNYA satu rangkaian pasar raya besar menyaksikan penurunan penjualan daging merah selepas pendedahan sindiket import daging halal palsu.

Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Pengarah Komunikasi Korporat Aeon Retail Malaysia Dr Kasuma Satria berkata penjualan daging merah francais turun 40% selepas laporan media mendedahkan sindiket mengimport daging dari rumah sembelihan yang tidak diperakui halal di beberapa negara untuk dibungkus semula dan dijual di Malaysia dengan logo halal palsu.

Penurunan ini paling ketara di kedai Aeon di kawasan majoriti penduduk Melayu, katanya, sambil menambah lebih banyak pengguna memilih daging tempatan berbanding import.

“Kami kini menyaksikan orang ramai mengalihkan permintaan mereka daripada daging import kepada lebih banyak daging tempatan.

“Ini terutamanya di kedai dengan kawasan ramai penduduk Melayu berbanding kedai yang memiliki lebih ramai pelanggan Cina dan India,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kasuma berkata perbezaannya jelas berdasarkan angka jualan untuk minggu terakhir 2020 berbanding minggu pertama tahun ini.

Isu tersebut pertama kali dilaporkan oleh Sinar Harian pada 2 Disember, sebelum diikuti media lain.

“Membandingkan angka bagi minggu tersebut, meskipun semasa perayaan Krismas, penjualan daging merah turun sebanyak 30% hingga 40%.”

Kasuma berkata, peruncit akan memeriksa terlebih dahulu dokumen yang disertakan dengan daging import berkenaan.

“Kami mengimport berdasarkan dokumentasi yang mengatakan ia disahkan halal. Kami mengimport berdasarkan maklumat tersebut.

“Tetapi sejak skandal itu terbongkar, Aeon sekarang sangat berhati-hati dengan perkara melibatkan daging import, terutama dari negara yang disebutkan.”

Ini termasuk Argentina, Brazil, Bolivia, China, Kanada, Colombia, Sepanyol, Ukraine dan Mexico, di mana sindiket mengimport daging dari rumah sembelih yang tidak disahkan halal.

“Dalam jangka panjang, kerajaan perlu memastikan penguatkuasaan lebih ketat bagi daging import jika kita ingin membangunkan semula kepercayaan dan keyakinan pengguna,” tambah Kasuma.

Ameer Ali Mydin, pengarah urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, berkata penjualan daging merah di cawangan Mydin tidak terjejas teruk kerana rangkaian itu tidak membeli daging dari pembekal pihak ketiga, tetapi daripada pembekal asal.

“Kami hanya membeli terus daripada pembekal yang kami percayai dan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).”

Bagaimanapun, Ameer berkata Putrajaya tidak akan cukup pantas menumpaskan anggota sindiket dan menghentikan kegiatan mereka, juga tidak berusaha keras mendapatkan kembali keyakinan pengguna terhadap stok daging halal yang ada di negara ini.

“Rakyat Malaysia berhak mendapat jawapan dan mereka wajar mengetahui sama ada apa yang mereka makan sekarang halal atau tidak.

“Kerajaan perlu meyakinkan masyarakat apa yang kita ambil adalah halal. Jika kerajaan tidak dapat memastikannya, maka mereka telah gagal,” kata Ameer, yang juga presiden Organisasi Peruncit Bumiputera.

Sindiket itu terbongkar berikutan serbuan di sebuah gudang menyimpan daging beku di Taman Perindustrian Senai, Johor, pada 1 Disember.

Sebanyak 1,500 tan daging beku dengan nilai anggaran RM30 juta disita, diseludup melalui pelabuhan Johor.

Gudang itu menjadi lokasi label dan cap halal palsu dibuat bagi daging yang dibungkus semula.

Sebahagian daging diluluskan sebagai halal termasuk daging kanggaru dan kuda.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti dokumen syarikat Johor untuk mengesan hubungan dengan pegawai penguat kuasa.

Jabatan Kastam juga melancarkan siasatan dalaman.

Setakat ini, empat orang sudah direman.

Ameer, yang juga naib presiden Persatuan Peruncit Malaysia, berkata kerajaan perlu memeriksa peruncit daging merah yang diimport, dengan menegaskan tiada tindakan seperti itu yang dilakukan hingga kini.

“Selain serbuan di gudang, kerajaan tidak melakukan pemeriksaan di tempat lain untuk mengetahui betapa meluasnya skandal daging ini.

“Saya anggap kerajaan akan memperoleh rekod di mana syarikat (Johor) menjual daging dan mereka perlu menghubungi semua peruncit ini untuk memberi amaran yang daging mereka jual mungkin tidak halal.

“Mereka mesti melakukan pemeriksaan besar-besaran terhadap semua peruncit dan tanpa mengira sama ada mereka pemain besar, kecil, pasar malam atau bahkan pasar pagi kerana di sinilah daging dijual,” kata Ameer.

“Kerajaan tidak memainkan peranannya membantu pengguna mendapatkan kembali keyakinan. Mereka mesti bertindak pantas kerana bulan puasa hampir menjelang (pada April) dan selepas itu, Hari Raya, tempoh pengambilan daging akan meningkat.” – 6 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen