Pasukan basmi kuman sukarela DAP terima permintaan tinggi


Angie Tan

DAP Selangor menubuhkan pasukan pembasmian kuman sukarela bagi memberikan perkhidmatan percuma berkenaan susulan peningkatan kes Covid-19 di Lembah Klang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2021.

PASUKAN pembasmian kuman sukarela yang ditubuhkan DAP Selangor menerima banyak permintaan bagi memberikan perkhidmatan percuma berkenaan susulan peningkatan kes Covid-19 di Lembah Klang.

Di Balakong, sebelum ini pasukan Adun Wong Siew Ki yang ditubuhkan pada April tahun lalu hanya menerima satu atau dua panggilan seminggu tetapi kini menerima sekurang-kurangnya lima permintaan sehari.

Pasukan sukarelawan menyediakan perkhidmatan ini secara percuma yang disokong oleh penaja ke rumah, pejabat dan kilang.

Menurutnya, banyak permintaan dibuat daripada ahli keluarga atau pekerja yang diuji positif.

“Selepas kami terima permintaan, kami mengatur jadual untuk ke tempat berkenaan secepat mungkin. Sukarelawan mempunyai kerja mereka sendiri dan biasanya boleh melakukan kerja pembasmian kuman pada waktu petang atau malam,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau sudah mengumpulkan seramai 30 sukarelawan di sekitar Balakong dan sehingga kini mereka sudah memberikan perkhidmatan di 300 premis merangkumi kediaman dan juga tempat komersial.

Wong berkata perkhidmatan ini berharga buat perniagaan kecil dan sederhana yang berdepan masalah aliran tunai serta tidak dapat menggunakan perkhidmatan pembasmian kuman profesional yang memerlukan kos bermula dari RM20,000.

“Bagaimana perniagaan kecil mampu nak bayar? Dan saya dapat tahu bahawa beberapa pasukan pembasmian kuman berlesen tidak mahu menjalankan perkhidmatan mereka di tempat yang mempunyai kes positif Covid-19,” katanya.

Pembasmian kuman di kilang pembuatan paling memakan masa untuk pasukan mereka dan memerlukan lebih ramai sukarelawan.

Pasukan itu kini merancang menghasilkan beberapa video mengenai cara-cara pembasmian kuman secara mudah dan merancang untuk menyiarkannya di media sosial supaya lebih ramai dapat belajar melakukannya sendiri.

Selangor kini mencatat jumlah kes tertinggi dalam wabak gelombang ketiga di negara ini yang bermula pada akhir September selepas pilihan raya negeri Sabah.

Tetapi sejak kelonggaran beberapa sekatan pergeakan dan ujian besar-besaran dalam kalangan pekerja kilang dan pembinaan menyaksikan peningkatan jumlah kes positif.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada 4 Januari berkata kluster baharu Covid-19 dikesan selepas larangan rentas negeri dibuka pada awal Disember.

Malaysia konsisten melaporkan lebih 1,000 kes setiap hari dan lebih 2,000 kes pada beberapa hari sejak pertengahan November. Negara ini kini mempunyai 122,845 kes kumulatif dan 509 kematian.

Di Klang, sebahagian kawasan berada di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan susulan kes dalam kalangan pekerja kilang pembuat sarung tangan Top Glove Corp, pasukan pembasmi kuman sukarela Adun Pandamaran Tony Leong Tuch Chee sudah meningkat dari lapan kepada 40 orang.

Kumpulan ini ditubuhkan pada Oktober tetapi ketika jumlah kes meningkat, semakin ramai yang ingin mendaftar dan membantu. – 6 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen