Pilihan raya waktu Covid-19 bukti Umno pentingkan diri, kata pembangkang


Kamles Kumar

Ketika kes Covid-19 meningkat di dalam negara dan juga di luar negara, desakan Umno untuk mengadakan pilihan raya umum dilihat sebagai tindakan yang mementingkan diri dan egois. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2021.

SERUAN Umno untuk mengadakan pilihan raya umum di tengah-tengah pandemik Covid-19 telah dibantah oleh 14 ahli Parlimen Pembangkang.

14 ahli Parlimen, 13 daripadanya ahli Parlimen dan seorang senator dari Pejuang mengecam Umno kerana mementingkan diri sendiri sedangkan kes Covid-19 meningkat hari demi hari.

“Sekarang ini, pengangguran atau kekurangan pendapatan bagi banyak keluarga pada masa pandemik ini masih tidak selesai.

“Dengan mengambil kira ini, kami terkejut dengan permintaan yang tak habis-habis oleh Umno untuk adakan pilihan raya dalam keadaan sekarang,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Antara ahli Parlimen yang menandatangani kenyataan itu ialah Darell Leiking (Warisan), Hannah Yeoh (DAP), Salahuddin Ayub (Amanah), Amiruddin Hamzah (Pejuang) dan Syed Saddiq (Muda).

Senator yang turut menandatangani kenyataan itu ialah Marzuki Yahya dari (Pejuang).

Kumpulan itu juga mengutuk Umno kerana menggunakan belanjawan RM322.5 juta yang diluluskan akhir tahun lalu untuk membantu menangani pandemik Covid-19.

“Hampir tiga minggu setelah belanjawan yang disangka mesra rakyat itu diluluskan, Umno kini ingin menggunakan pilihan raya pula sebagai muslihat untuk merebut lebih banyak kuasa dengan mengorbankan kesejahteraan dan keselamatan serta kesihatan rakyat Malaysia.

“Mereka telah menunjukkan wajah sebenar mereka,” kata kumpulan itu.

Mereka menambah, Umno harus ditolak oleh rakyat kerana cita-cita mereka yang sangat egois dan keji untuk mendapatkan kuasa di tengah-tengah krisis yang menyerang seluruh dunia ini.

“Rakyat Malaysia wajib menolak cita-cita jahat dan egois mereka untuk berkuasa. Kita telah menimpa banyak kerugian akibat salah urus tadbir dan rasuah yang dibuat mereka bertahun-tahun lamanya,” kata wakil pembangkang itu.

Umno mendesak pilihan raya diadakan pada suku pertama tahun ini, seperti yang dilihat dalam mesyuarat bahagian hujung minggu lalu.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, kerajaan sepatutnya tidak memberi alasan dan menyeru pilihan raya diadakan selepaspemvaksinan selesai.

Dalam masa sama, beberapa bahagian mahu semua ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional sekiranya pilihan raya tidak diadakan. – 5 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen