ANAK lelaki Presiden Filipina, Rodrigo Duterte meletak jawatan pada Isnin, memetik dakwaan mengaitkannya dengan penyeludupan dadah yang dinafikannya serta pertikaian di media sosial dengan anak perempuannya sendiri.
Paolo Duterte memberitahu Majlis Bandar Davao, bandar pelabuhan di selatan negara itu, tempat dia berkhidmat sebagai timbalan datuk bandar yang dia meletak jawatan kerana “beberapa kejadian malang yang berlaku dalam hidup saya”- memetik alasan masalah keluarga serta dakwaan dia terlibat dalam penyeludupan dadah.
“Itu antara lainnya, termasuklah reputasi saya yang rosak dalam kes penyeludupan terbaru dilancarkan Biro Kastam dan pertikaian dengan anak perempuan saya,” katanya.
“Saya bertanggungjawab kerana semua ini berlaku,” kata lelaki berusia 42 tahun itu dalam satu kenyataan diedarkan kepada media.
Anak lelaki presiden itu menjadi tajuk utama akhbar minggu lepas selepas dia menggunakan akaun Facebook rasmi timbalan datuk bandar mengecam anak perempuanya, Isabelle selepas dia mengkritik tindakan Paolo di media sosial.
Catatan anak perempuannya itu tidak dapat diakses orang awam.
Timbalan datuk bandar itu menerusi catatan Facebooknya itu- yang sudah dipadamkan Isnin lalu- mengatakan anak perempuannya “memalukan” diri sendiri dengan tindakannya tetapi tidak menjelaskan secara terperinci.
Isabelle menjadi tumpuan media selepas gambarnya memakai pakaian berjenama di Istana Presiden tular di media sosial.
Seorang senator pembangkang awal tahun ini menuduh Paolo menjadi dalang penyeludupan syabu bernilai lebih 6.4 juta peso (AS$125 juta) ke Filipina dari China.
Dia memberikan keterangan di hadapan Senat pada September menafikan dakwaan itu, ribuan orang dibunuh di negara itu dalam kempen anti dadah yang dilancarkan ayahnya.
Datuk Bandar Davao, Sara Duterte, anak perempuan presiden berkata pada Isnin tidak mengetahui sama ada perletakan jawatan abangnya itu diterima.
Keluarga Duterte mengawal politik Davao sejak lebih dua dekad lalu, malah presiden Filipina Rodrigo Duterte juga pernah menjadi datuk bandar paling lama berkhidmat. – AFP, 25 Disember, 2017.
Komen