BN lucut jawatan Annuar Musa


Beliau berulang kali bergeser dengan para pemimpin parti terutama dalam kerjasama dalam Perikatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2021.

ANNUAR Musa dipecat daripada jawatan setiausaha agung Barisan Nasional (BN) hari ini selepas berulang kali bergeser dengan para pemimpin parti, menurut sumber Umno.

Menurut sumber tersebut, keputusan itu dimaklumkan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno kepada menteri Wilayah Persekutuan itu hari ini.

“Beliau dipecat hari ini,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Seorang lagi sumber berkata Annuar dikenakan tindakan itu kerana tidak menepati prinsip parti dan dilihat lebih berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu.

Susulan itu, timbul desakan agar Annuar dipecat seperti disuarakan Umno Bahagian Pasir Puteh yang mendakwa bekas ahli Parlimen Ketereh itu tidak menghormati dan mendahului presiden parti.

Usul itu dicadangkan oleh Ketua Pemuda Umno Pasir Puteh Muhammad Saifullah Ali pada mesyuarat perwakilan bahagian itu pada Sabtu.

Cadangan itu muncul selepas Annuar menegur Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi berhubung pergelutan parti itu dengan PAS dalam merundingkan kerusia pilihan raya umum akan datang.

Tindakan Annuar yang lebih mempertahankan PN berbanding Umno dalam beberapa isu juga mencetuskan kemarahan pemimpin Umno seperti Ahli Majlis Tertinggi Puad Zarkashi.

Setiausaha agung Umno Ahmad Maslan kemudian diumumkan sebagai setiausaha agung baharu BN menggantikan Annuar. – 5 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen