Jadikan perpaduan azam Tahun Baharu  


KITA berjaya mengharungi satu tahun yang amat sukar bukan sahaja buat diri kita, tetapi juga untuk negara tercinta ini.

Tahun negara dilanda perebutan kuasa, tahun yang dilanda wabak merbahaya, tahun tidak dapat  bergerak sebebasnya tetapi syukur kita berjaya melepasinya dan masih berdiri megah sebagai rakyat Malaysia. 

Tahun 2020 yang kita harapkan dengan wawasannya akhirnya menghampakan kita kerana wabak yang melanda.  

Tetapi ini tahun baharu. Ini masa kita untuk bermula semula. Ini masa untuk kita atur semula azam yang kebanyakannya gagal kita penuhi pada tahun lepas untuk dikecapi semula pada tahun ini. 

Dalam merangka pelbagai azam yang diidamkan menjadi nyata seperti memulakan perniagaan, mendapatkan tubuh badan yang diidamkan mahupun  memulakan karier baru sebagai sesiapa sahaja yang anda mahu segalanya boleh ditulis sebagai azam baru kita semua.  

Dalam keghairahan kita menukil azam baru, alangkah bagusnya jika kita dapat sama-sama meletakkan perpaduan sebagai salah satu azam tahun baru kita.

Banyak perkara berkaitan perpaduan yang boleh kita jadikan sebagai salah satu azam kita. 

Antaranya memperbanyakkan lagi kawan-kawan rapat kita daripada pelbagai agama dan bangsa.  

Mungkin pada tahun-tahun sebelum ini, kita sememangnya ada kenalan berbangsa lain, tapi adakah kita rapat dengan mereka seperti kita rapat dengan bangsa kita sendiri.

Jika belum, inilah masanya untuk meluangkan lebih banyak masa bersama kaum lain seterusnya merapatkan lagi hubungan antara kaum berlainan bangsa. 

Buatlah pelbagai perkara bersama untuk merapatkan hubungan seperti bercuti bersama, bersukan bersama dan juga  kunjung mengunjungi di rumah bersama-sama.  

Selain itu, kita juga boleh menjadikan azam perpaduan kita ialah dengan menyertai program yang dianjurkan oleh bukan kaum kita.

Contohnya, kita boleh sama menyertai pesta tanglung oleh kaum Cina, meraikan pesta Ponggal bersama kaum India, atau belajar tentang korban pada Hari Raya Korban bersama kaum Melayu. 

Ini akan menjadikan kita lebih memahami tentang kaum lain jika kita mengalaminya bersama. 

Apa yang kita lihat dan belajar mungkin tidak sama dengan apa yang kita fahami sekiranya  kita melibatkan diri dalam aktiviti silang kaum sebegini.  

Mungkin kadang-kala, kita teringin menyertai program kaum lain tetapi tidak dijemput dan wujudnya segan untuk tiba-tiba hadir ke program orang.

Justeru, bagi mengatasi masalah ini, kita turut boleh memainkan peranan yang unik. 

Jadikan azam perpaduan kita adalah untuk melibatkan lebih ramai kaum lain dalam program atau majlis kaum kita sendiri.

Majlis yang paling banyak sudah tentulah majlis perkahwinan yang mana kita sendiri boleh menjemput rakan pelbagai bangsa untuk hadir meraikan kita. 

Bayangkan satu perkahwinan kaum Kadazandusun yang dihadiri oleh semua kaum di Malaysia. Sudah tentu ia akan mewujudkan momen perpaduan yang sangat indah.  

Seterusnya, kita perlu juga melatih diri, untuk lebih bersifat empati dan memahami kaum kaum di negara ini.

Janganlah kita sewenang-wenangnya mengajak diri kita menyebarkan berita yang mengusik sentimen pelbagai kaum di negara ini. 

Latihlah diri kita untuk tidak menyebarkan benci sekiranya ada perkara yang mengguriskan hati. 

Segala masalah yang kita hadapi haruslah diatasi dengan menggunakan budi pekerti dan empati yang tidak memakan dan melukakan hati rakyat di negara majmuk ini.

Kita boleh berdiskusi dengan baik, dan menyelesaikan ketidakpuasan hati tanpa perlu bertelagah sesama sendiri.

Arus kemodenan seharusnya mengajar kita bahawa segala pergaduhan tidak mendatangkan kebaikan kepada negara kita.  

Kita sudah ada pengalaman lama. Dari 13 Mei 1969, hinggalah ke kes rusuhan kuil 2019.

Kita seharusnya belajar, yang bergaduh, tidak menyelesaikan masalah. Jadi, cipta azam baru, untuk tidak berbalah dan mencari salah.

Supaya kita berjaya mewujudkan masa depan yang  lebih cerah untuk generasi akan datang.  

Akhir sekali, letaklah azam untuk lebih mengenali Malaysia dengan lebih mendalam.

Kenali dan fahamilah ideologi kebangsaan yang wujud sejak 50 tahun dahulu. Jadikan rukun negara sebagai pegangan hidup. 

Hayati dan fahami rukun negara bukan sekadar lima prinsipnya tetapi juga lima matlamat yang terkandung dalamnya.

Dengan adanya azam perpaduan dalam senarai azam kita pada tahun ini, besarlah potensi kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang harmoni dan aman damai walau apa jua keadaan yang kita hadapi pada 2021. – 5 Januari, 2021.

* Ishak Sairozi, eksekutif Yayasan Perpaduan Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen