Pusat kuarantin padat, KKM utamakan persekitaran kondusif untuk kuarantin rumah


Ragananthini Vethasalam

Kami sedang mengutamakan kes-kes yang tidak mempunyai keadaan yang kondusif untuk kuarantin, kata Dr Noor Hisham. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2021.

OLEH sebab padatnya pusat rawatan berisiko rendah, kementerian kesihatan kini mengutamakan pesakit yang tidak mempunyai persekitaran kondusif untuk kuarantin di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kapasiti semasa di hospital dan kemudahan rawatan berisiko rendah hanya terhad kepada 23,000 tempat tidur.

“Setakat ini kita boleh tampung, tetapi jika kita lihat kes-kes aktif, jumlahnya (lebih) 22,000 kapasiti. Kapasiti kita 23,000,” katanya pada sidang media hari ini.

Noor Hisham juga berkata, sekitar 89-90 peratus pesakit Covid-19 tidak bergejala atau menunjukkan gejala ringan.

“Kami sedang mengutamakan kes-kes yang tidak mempunyai keadaan yang kondusif untuk kuarantin. Sebagai contoh, kami menempatkan pekerja asing di MAEPS (Malaysia Agro Exposition Park Serdang),” katanya.

“Kami juga sedang melihat kriteria kuarantin rumah dan pengasingan untuk kes asimptomatik dan ringan. Kami sedang membaik pulih kriteria yang dapat dipertimbangkan,” tambahnya.

“Memandangkan kes meningkat, masih ada kelewatan dalam membawa pesakit ke pusat rawatan kerana masalah logistik,” katanya.

Dalam hal lain, Dr Noor Hisham berkata pesakit boleh didiscaj selepas 10 hari tanpa perlu menjalani ujian kedua Covid-19.

Memetik data terbaharu dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), beliau berkata, biasanya hasil ujian kedua mungkin positif disebabkan oleh peluruhan virus di mana virus tidak lagi menular.

Beliau menjawab dakwaan berhubung beberapa pesakit dikeluarkan tanpa ujian kedua.

Sesuai dengan norma sebelumnya, seorang pesakit harus menjalani ujian kedua pada hari ke-13 rawatan untuk mengesahkan status jangkitan mereka. Mereka hanya akan didiscaj setelah mereka disahkan bebas dari virus. – 4 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen