USAHA tambakan tanah besar-besaran dilakukan China di sekitar terumbu karang dan perairan yang menjadi rebutan di Laut China Selatan “bergerak maju dengan stabil”, lapor media negara itu dan mengikut jadual menggunakan jentera “pembinaan pulau” besar bagi mengubah kawasan itu.
Beijing mendakwa hampir semua kawasan laut sudah ditukar menjadi terumbu karang di kepulauan Spratly dan Paracel, kemudahan dan peralatan tentera juga sudah diletakkan di kawasan yang menjadi rebutan dengan negara-negara jiran itu.
“Pembinaan sedang bergerak maju dengan stabil dan beberapa hasil sudah dapat dicapai,” menurut laporan yang dikeluarkan pada Jumaat di Haiwainet, portal berita di bawah akhbar milik Parti Komunis negara itu, People’s Daily.
Projek itu “keseluruhannya mengubah wajah pulau dan terumbu karang Laut China Selatan”, kata laporan itu lagi.
Tindakan itu merupakan punca kemelut dengan negara jiran. Tuntutan China ke atas kawasan itu bertembung dengan tuntutan Vietnam, Filipina, Malaysia dan Brunei serta Taiwan.
Pada 2017, China membina 290,000 kaki persergi (29 hektar) kemudahan di terumbu karang dan kepulauan yang wujud di Laut China Selatan termasuklah tempat simpanan bawah tanah, bangunan pentadbiran dan meletakkan kemudahan radar, kata laporan itu lagi.
“Bagi meningkatkan persekitaran kerja dan tempat tinggal mereka yang menetap di pulau itu serta mengukuhkan pertahanan ketenteraan yang diperlukan di Laut China Selatan yang menjadi jajahan China, China dengan rasionalnya meluaskan kawasan pulau dan terumbu karang itu,” katanya.
Kawasan perairan itu dipercayai mempunyai banyak simpanan minyak dan gas serta menjadi laluan perdagangan dunia bernilai AS$5 bilion setiap tahun.
Laporan itu juga menyebut tentang pengenalan sebuah kapal korek pasir gergasi, Tianjing yang dianggap “jentera magik pembinaan pulau” dan pelbagai lagi “jentera magik” lain akan dihantar dan “kawasan kepulauan dan terumbu karang Laut China Selatan akan diluaskan lagi”.
China juga sedang membina tapak janaan kuasa nuklear terapung, kata laporan itu untuk menyediakan tenaga kepada penduduk di kawasan bandar Sansha.
Sansha terletak di Kepulauan Woody di rantaian pulau Paracel- yang juga dituntut Vietnam dan Taiwan- dan kini ditadbir China.
China menubuhkan Sansha pada 2012 dengan memberikannya dua juta kaki persegi laut dan mengisytiharkannya sebagai bandar terbesar negara itu.
Awal bulan ini, sebuah kumpulan pemikir AS mengeluarkan gambar satelit menunjukkan kewujudan radar dan pelbagai peralatan lain di kepulauan yang menjadi rebutan itu, – AFP, 25 Disember, 2017.
Komen