SPRM kesan penguat kuasa lindungi sindiket daging haram


Kalidevi Mogan Kumarappa

Sindiket daging haram yang disiasat dipercayai membungkus semula daging import ke dalam bungkusan dengan logo jenama syarikat pengeluar daging sejuk beku terkemuka di Malaysia. – Gambar EPA, 4 Januari, 2021.

SEMUA pihak yang terbabit kes mengimport daging tidak sah halal termasuk penglibatan anggota penguat kuasa yang melindungi sindiket terbabit sedang dikesan, kata agensi anti rasuah.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ia berdasarkan risikan dan serbuan awal di sekitar Johor yang membawa kepada rampasan dokumen import sejak 2015.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Ahmad Khusairi Yahaya berkata segala dokuman yang dirampas dan akaun syarikat terbabit akan dikaji semula untuk mengesan individu terlibat.

Katanya aspek utama siasatan berhubung kesalahan mengemukakan pengisytiharan palsu dalam borang Kastam 1 oleh syarikat dan ejen pengimport bahan mentah sejuk beku ini.

“Aspek kedua ialah meneliti dan mengkaji sebarang bentuk pembayaran rasuah melalui akaun syarikat yang terbabit,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ia antara lain membawa kepada tangkapan pengarah dan kakitangan sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku di Johor pada malam tadi, katanya.

“(Tangkapan) berkaitan sindiket yang sama berhubung isu rasuah dalam kes penyeludupan bahan mentah sejuk beku yang dikatakan dibawa masuk secara haram daripada beberapa negara yang tidak mendapat kelulusan,” katanya.

Jelasnya, SPRM tidak mendedahkan perkembangan siasatan sepanjang dua minggu lalu untuk mengelak suspek menghapuskan bukti yang akan menjejaskan pendakwaan.

Dalam tempoh itu, SPRM juga mengumpul bukti dan keterangan yang memerlukan masa dan analisis teliti, katanya.

“Kalau kita terlalu membincangkan isu ini dalam media, maka ia akan merumitkan penyiasatan dan memberikan persepsi negatif masyarakat.

Jelasnya, siasatan ke atas suspek yang ditahan pada malam tadi dijalankan mengikut Seksyen 18 dan 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2019.

“Keempat-empat suspek yang ditahan di SPRM Johor, malam tadi dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi ini untuk proses tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Majistret membenarkan keempat-empat suspek, melibatkan dua pengarah dan dua kakitangan direman selama empat hari, katanya.

SPRM tidak mendedahkan perkembangan siasatan sepanjang dua minggu lalu untuk mengelak suspek menghapuskan bukti yang akan menjejaskan pendakwaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2021.

Pengarah SPRM Johor Azmi Alias mengesahkan tangkapan empat individu tersebut.

Katanya tangkapan itu hasil kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Selain itu ia turut melibatkan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi mengesan pengimport tersebut, katanya.

Sindiket daging haram yang disiasat dipercayai membungkus semula daging import ke dalam bungkusan dengan logo jenama syarikat pengeluar daging sejuk beku terkemuka di Malaysia.

Bungkusan itu juga disertakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang tidak sah.

Pada minggu lalu dua pengarah syarikat pembekal daging mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menggunakan logo halal tanpa diperakui pihak berkuasa.

Pengarah dan pemilik Raihanah Cold Storage Sdn Bhd merupakan individu pertama dalam kes pemalsuan label halal bagi daging import.

Syarikat itu didakwa menggunakan logo halal tanpa diperakui halal oleh pihak berkuasa berwibawa.

Laporan media sejak bulan lalu mendedahkan sindiket cuba mengelakkan cukai dan membayar kos sijil halal untuk mengaut keuntungan daripada harga import murah dan dijual mahal di pasaran.

Dengan itu, pegawai terlibat didakwa disogok termasuk dengan wang tunai dan percutian luar negara untuk memastikan barangan yang melanggar peraturan dibenarkan masuk ke pasaran.

Proses penyelewengan didakwa bermula di loji penyembelih di negara pembekal, di mana pegawai kerajaan perlu memberi pengesahan halal dan kualiti. – 4 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen