Lorde batal konsert di Israel


Selepas kecaman aktivis antarabangsa dan New Zealand, Lorde pada Ahad mengumumkan yang beliau akan membatalkan konsert di Israel.– Gambar EPA, 25 Disember, 2017.

PENYANYI New Zealand, Lorde membatalkan konsert di Israel selepas menerima tekanan sebuah kumpulan yang menentang penaklukan negara Yahudi itu di Palestin.

Lorde yang berusia 21 tahun mula dikenali dunia ketika masih remaja mengumumkan yang beliau membatalkan konsert di Tel Aviv yang dijadualkan dilangsungkan pada Jun tahun depan. Konsert itu adalah sebahagian daripada jelajah dunianya.

Selepas kecaman aktivis antarabangsa dan New Zealand, Lorde pada Ahad mengumumkan yang beliau akan membatalkan konsert di Israel.

“Saya menerima banyak mesej dan surat serta melakukan perbincangan dengan ramai orang dan saya merasakan masanya tepat untuk membatalkan konsert itu,” kata Lorde dalam satu kenyataan diedarkan Naranjah, penganjur konsertnya di Tel Aviv.

“Saya tak berbangga untuk mengakui yang saya tak buat keputusan yang tepat kali ini,” katanya merujuk kepada keputusan awal untuk mengadakan konsert di Israel. “Saya benar-benar minta maaf kerana menarik balik komitmen saya. Saya harap satu hari nanti kita boleh berjumpa dan menari bersama.”

Dalam satu kenyataan kepada AFP, Naranjah berkata: “Kami maafkan Lorde dan mengucapkan selamat berjaya untuk jelajahnya di Rusia dan AS.”

Pergerakan yang memberikan tekanan kepada Lorde dikenali sebagai BDS- Boycott, Divestment and Sanctions- yang lahir daripada inspirasi kempen mensasarkan regim apartheid Afrika Selatan dan bermatlamat menamatkan penaklukan Israel di Tebing Barat.

Julai lalu, aktivis BDS gagal menghalang Radiohead membatalkan konsertnya di Tel Aviv walaupun desakan itu disertai ramai artis seperti Roger Waters dari Pink Floyd dan pengarah Ken Loach.

Israel menganggap BDS sebagai satu ancaman dan mendakwanya anti- Semitism, dakwaan yang dinafikan pergerakan itu.

Beberapa pemuzik celik politik juga membatalkan konsert di Israel sejak beberapa tahun lalu termasuklah Lauryn Hill dan Elvis Costello. – AFP, 25 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen