Pengarah, pekerja syarikat ditahan kes daging haram


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM menahan seorang pengarah dan tiga pekerja syarikat pengimport daging sejuk beku kerana disyaki terlibat dengan rasuah dan penyeludupan daging terlarang. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Januari, 2021.

SEORANG pengarah dan tiga pekerja syarikat pengimport daging sejuk beku ditahan kerana disyaki terlibat dengan rasuah dan penyeludupan daging terlarang.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor mengesahkan kesemuanya yang berusia antara 39 hingga 50 tahun ditahan sewaktu disiasat di pejabat agensi tersebut malam tadi.

“SPRM memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan isu kepentingan rakyat khususnya umat Islam di negara ini.

“Siasatan dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kesemua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi ini bagi permohonan reman.

Jelasnya, ia hasil kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Selain itu ia turut melibatkan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi mengesan pengimport tersebut, katanya. 

Timbalan menteri KPDNHEP Rosol Wahid pada minggu lalu berkata pihak berkuasa sedang melengkapkan siasatan ke atas syarikat yang menjadi dalang sindiket daging haram.

Menurutnya, syarkat tersebut dipercayai membungkus semula daging import ke dalam bungkusan dengan logo jenama syarikat pengeluar daging sejuk beku terkemuka di Malaysia.

Bungkusan itu juga disertakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang tidak sah.

Pada minggu lalu dua pengarah syarikat pembekal daging mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menggunakan logo halal tanpa diperakui pihak berkuasa.

Pengarah dan pemilik Raihanah Cold Storage Sdn Bhd merupakan individu pertama dalam kes pemalsuan label halal bagi daging import.

Syarikat itu didakwa menggunakan logo halal tanpa diperakui halal oleh pihak berkuasa berwibawa, pada sebuah lori jenama Isuzu.– 4 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen