AHLI Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew akan mengetuai 750 pengguna dalam tuntutan saman difailkan terhadap beberapa pihak, termasuk jabatan air, atas gangguan bekalan air yang tidak dijadualkan sehingga menjejaskan mereka tahun lalu.
Beliau berkata penduduk di kawasannya terjejas ekoran pemotongan air yang sering berlaku. Menurutnya, gangguan bekalan air berlaku sehingga empat kali dalam tempoh sebulan. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa menghadapi pelbagai kesulitan.
Antara mereka yang terjejas adalah pesakit buah pinggang yang tidak dapat menjalani dialisis kerana bekalan air tidak ada di klinik, selain penjaja yang terjejas perniagaan mereka.
Tan, wakil rakyat daripada PKR memberitahu The Malaysian Insight beliau merancang melakukan tuntutan undang-undang selama empat bulan dan berjaya mengumpulkan 750 pengguna dengan 70% daripada mereka adalah penduduk di kawasannya.
Beliau berkata beberapa peguam turut bersedia untuk mewakili mereka secara pro-bono bagi mengambil tindakan terhadap Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Pengurusan Air Selangor (Luas), kerajaan Selangor dan persekutuan selain kilang yang terlibat mencemarkan sumber air.
Katanya, pasukan undang-undangnya ketika ini sedang menyiapkan dokumen yang diperlukan bagi meneruskan saman itu dan ia akan diselesaikan dalam tempoh sebulan.
“Kami tidak melakukan ini untuk mendapatkan pampasan, tetapi bagi menuntut keadilan. Gangguan air menyebabkan banyak kerugian, bukan hanya daripada segi kewangan, tetapi juga kesejahteraan emosi dan kesihatan mental,” katanya.
Tan berkata sebagai contoh, pusat dialisis di kawasannya tidak dapat beroperasi kerana gangguan air. Bagi pesakit yang harus menjalani dialisis tiga hingga empat kali seminggu, tempoh itu boleh menyebabkan kesakitan, muntah dan pengsan.
Selain itu, katanya penjaja dan penduduk turut menyertai saman tersebut.
“Penjaja yang sudah membeli bahan tidak dapat membuka gerai, mereka yang tidak boleh memasak dan terpaksa membeli makanan dan air dari luar, atau pendapatan terjejas kerana kehilangan pekerjaan.
“Semakin banyak orang ambil berat tentang perkara yang melibatkan pencemaran alam sekitar dan bekalan air yang dirawat. Kami bawa kes ini ke mahkamah sehingga kerajaan dan pihak berkuasa lain yang terkait tidak boleh lagi melepaskan tanggungjawab mereka dan mengabaikan perkara ini,” kata Tan.
Bagi membolehkan mereka yang berpendapatan rendah mengambil bahagian dalam saman tersebut, individu hanya perlu membayar antara RM20 hingga RM50 sebagai yuran peguam bagi menjadi plaintif dalam kes tersebut. – 4 Januari, 2021.
Komen