PIHAK berkuasa Filipina mengarahkan siasatan jenayah dilakukan dalam tragedy kebakaran sebuah kompleks membeli belah yang membunuh puluhan orang, kebanyakannya pekerja pusat talian khidmat pelanggan sebuah syarikat Amerika.
Ketua Setiausaha Negara Vitaliano Aguirre mengumumkan siasatan itu ketika jumlah korban kompleks membeli belah NCCC yang terbakar di selatan bandar Davao meningkat kepada seorang dan 38 lagi masih hilang.
Kebakaran itu menambah luka Krismas di negara majoriti penduduk Katolik yang juga sedang bergelu dengan taufan yang membunuh ratusan orang dan menyebabkan ribuan lagi penduduk hilang tempat tinggal.
“Dengan menghukum mereka yang bertanggungjawab, kita boleh memberi tauladan kepada yang lain supaya tragedi sama tidak berulang,” kata Aguirre dalam satu kenyataan.
Kebakaran sering berlaku di Filipina terutama di kawasan setinggan yang langsung tidak mempunyai pelan pencegah kebakaran.
Syarikat penyelidikan pasaran berpangkalan di Amerika Syarikat, SSI mengesahkan di laman sesawangnya yang 37 daripada 500 orang pekerjanya di cawangan Davao “hilang”. Syarikat itu menyewa tingkat atas bangunan empat tingkat itu.
“Tragedi buruk ini menyedihkan kami. Kami mengucapkan takziah dan berdoa semuanya baik-baik sahaja untuk keluarga mangsa,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Gary Laben dalam satu kenyataan.
Syarikat itu sudah mengatur sesi kaunseling untuk pekerjanya dan akan menampung belanja pengebumian dan mewujudkan tabung bantuan untuk keluarga mangsa.
Pihak berkuasa pada Ahad mengatakan tiada siapa yang terperangkap dalam kebakaran itu boleh terselamat dan setakat ini mereka hanya berjaya menemui satu mayat yang masih belum dikenal pasti identitinya.
Datuk Bandar Davao, Sara Duterte, anak perempuan Presiden Filipina Rodrigo Duterte meningkatkan jumlah mangsa tragedi pada Isnin mengatakan 38 orang selain daripada satu mayat yang dijumpa masih hilang- meningkat dua orang berbanding jumlah asal.
Pasukan bomba bandar itu menyifatkan kompleks membeli belah itu sebagai “tempat tertutup tanpa ruang udara” dan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan punca sebenar kebakaran itu.
Pengurusan bangunan pada Ahad menafikan dakwaan mereka yang berjaya melepaskan diri yang tidak terdapat pintu keluar kecemasan mencukupi dan ada antaranya yang dikunci.
“Tidak ada kebenaran dalam tuduhan itu. Malah seperti mana keterangan mangsa terselemat mereka keluar dari pintu kecemasan,” kata Pegawai Komunikasi Kompleks Membeli Belah, Thea Padua kepada AFP.
Keluarga mangsa juga mengecam pasukan penyelamat kerana merasakan tidak cukup berusaha menyelamatkan mangsa.
Korupsi dan eksploitasi bermakna aspek keselamatan seringkali diabaikan di Filipina.
Pada 2015, kebakaran sebuah kilang kasut di Manila membunuh 72 orang. Mangsa terselamat menyalahkan tingkap berjeriji dan persekitaran kilang itu menyebabkan ramai gagal menyelamatkan diri.
Kebakaran terburuk berlaku di Filipina pada 1996 apabila 162 orang terbunuh dalam kebakaran sebuah kelab malam di Manila.
Upah rendah dan kemahiran berbahasa Inggeris tinggi di negara itu menjadikannya destinasi utama syarikat antarabangsa untuk mewujudkan pusat talian khidmat pelanggan di bandar-bandar besarnya termasuklah di Davao yang terletak hampir 1,000 kilometer dari Manila. – AFP, 25 Disember, 2017.
Komen