PKPB bermula di Kota Bharu, PKPD depoh tahanan Langkap ditamatkan


Hailey Chung Wee Kye

Seorang wanita menulis nama dan memeriksa suhu badan sebelum memasuki sebuah premis perniagaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2021.

PUTRAJAYA menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Depoh Tahanan Imigresen di Langkap hari ini dan dua kawasan di Kota Bharu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob. 

PKPD Depoh Tahanan Imigresen Langkap dan kuarters kakitangan di Hilir Perak pada asalkan dijadualkan tamat pada 14 Januari, 2021.

“Kementerian Kesihatan selesai menjalankan ujian saringan terhadap tahanan dan kakitangan. 

“Kementerian mengesahkan kes positif di depoh tahanan itu menunjukkan penurunan.

“Situasi di sana terkawal dan tiada keputusan ujian yang masih tertangguh,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini. 

Di Mukim Peringat dan Mukim Kota di Kota Bharu, kementerian melaporkan peningkatan kes positif Covid-19.

“Dua kawasan ini menyumbang jumlah kes tertinggi di Kota Bharu membabitkan dua kluster utama, iaitu kluster Halban dan Pintu Geng,” kata Ismail Sabri. 

Justeru katanya, kerajaan bersetuju untuk mengenakan PKPB di dua kawasan berkenaan bermula 4 Januari hingga 17 Januari. 

“Pelaksanaan PKPB bagi membolehkan kementerian melakukan ujian saringan bersasar dan mengurangkan pergerakan komuniti di kedua-dua kawasan terbabit,” katanya. – 3 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen