.jpg)
DAHULU, rakyat runsing akan arahan kerajaan yang berlainan dan sentiasa bertukar-tukar. Arahan untuk Prosedur Operasi Standard (SOP) membanteras penularan Covid-19 yang tidak selaras menyebabkan rakyat keliru dan bimbang.
Hal ini ditambah lagi dengan arahan yang tidak jelas sebelum ini, misalnya apabila Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan kerja dari rumah bagi mengurangkan pergerakan di kawasan PKPD. Namun beberapa hari selepas itu, Kementerian Belia dan Sukan mengumumkan pembukaan semula pusat-pusat sukan di negara ini.
Ini menimbulkan banyak tanda tanya kepada rakyat.
Keputusan pembukaan pusat-pusat sukan bertentangan dengan tujuan sebenar pelaksanaan kerja dari rumah iaitu untuk mengurangkan pergerakan orang ramai. Adakah mereka yang bersukan ini tidak terdedah dengan ancaman Covid-19?
Sekarang lain pula ceritanya. Masih ramai lagi rakyat yang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Buktinya, seramai 1,002 orang telah ditahan kerana gagal mematuhi SOP di Kuala Lumpur pada hari perayaan Krismas yang lalu. Seramai 125 individu didapati tidak mengamalkan penjarakan sosial manakala 69 orang tidak memakai penutup mulut dan hidung.
Sejujurnya, dapat diperhatikan gelagat kebanyakan rakyat Malaysia hanya mematuhi arahan pemakaian penutup mulut dan hidung. Manakala, penjarakan sosial amatlah jarang dilakukan. Sesetengah individu juga masih tidak mengendahkan arahan ini walaupun mengetahui jumlah saman yang perlu dibayar sekiranya melanggar peraturan.
Jika dibandingkan hari ini dengan waktu kali pertama virus ini datang menyerang negara kita, sekarang sudah jarang melihat orang membawa pensanitasi tangan (hand sanitizer) ke mana mana. Pensanitasi tangan yang diletakkan di premis-premis juga jarang digunakan.
Beberapa minggu lalu, rakyat sudah dibenarkan untuk merentas negeri kecuali kawasan PKPD. Perkara ini telah menyebabkan ramai anak rantau pulang ke kampung masing-masing. Tetapi mereka yang datang dari zon merah ini mempunyai risiko tinggi untuk menyebarkan Covid-19 ke kawasan lain.
Pada 29 Disember yang lalu, negeri Terengganu melaporkan seramai 4,308 individu yang datang dari kawasan zon merah telah melakukan penilaian risiko di negeri tersebut. Keputusan menunjukkan 21 kes positif Covid-19 termasuk enam kontak rapat.
Walaupun tindakan mereka dipuji kerana melakukan ujian secara sukarela, namun tidak sepatutnya mereka yang dari kawasan zon merah ini merentas negeri. Hal ini akan menyebabkan munculnya kluster baru yang dibawa oleh orang-orang yang pulang ke kampung sekiranya tidak dikesan lebih awal.
Tambahan pula, terdapat juga mereka yang merentas negeri untuk bercuti. Baru-baru ini telah tular di media sosial tentang kegagalan pengunjung mengamalkan penjarakan sosial di lokasi percutian popular iaitu Pulau Langkawi dan Zoo Melaka.
Sejurus kejadian itu, kerajaan mengeluarkan kenyataan bahawa SOP mungkin akan diperketatkan sekiranya orang ramai masih tidak mematuhi SOP.
Saranan kerajaan yang menggalakkan rakyat untuk melancong dalam negara untuk membaiki ekonomi yang merosot akibat pandemik ini telah mendatangkan masalah yang lain pula.
Rakyat Malaysia dilihat masih belum dapat membiasakan diri dengan norma baharu dan rata rata hanya mematuhi pemakaian penutup mulut dan hidung.
Orang ramai seharusnya mengambil pengajaran daripada kes yang berlaku akibat pilihan raya di Sabah beberapa bulan yang lepas.Penjarakan sosial adalah sama penting dengan pemakaian penutup mulut dan hidung.
Kes yang meningkat setiap hari masih tidak lagi menunjukkan penurunan dan masih mengekalkan empat angka. Peningkatan kes ini telah menyebabkan sistem kesihatan tertekan di mana hospital penuh dan katil-katil tidak mencukupi. Adakah kita tidak mahu melihat angka kes menurun kepada satu atau dua angka seperti beberapa bulan yang lepas?
Walaupun vaksin dijangka akan diberikan pada fasa pertama 2021, kita masih perlu mengamalkan SOP yang telah ditetapkan. Janganlah sudah terhantuk baru tengadah dan mengutuk pihak atasan akibat mengenakan kadar saman yang tinggi.
Ada sebab kenapa kerajaan melaksanakan SOP ini dan mengapa kita harus patuh akan arahan ini. – 3 Januari, 2021.
* Nur Athirah Hamdan, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen