Umno pertahan semua kerusi dimenangi PRU14, kata Zahid


Kamles Kumar

Ahmad Zahid memberitahu perwakilan Umno dan parti lain dalam Barisan Nasional, bahawa parti tidak akan bergabung dengan gabungan Perikatan Nasional yang baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2021.

UMNO akan bertanding di semua kerusi yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lalu termasuk kerusi Bersatu yang dimenanginya sebelum ahli Parlimen Umno lompat parti, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata Umno bertekad untuk mengekalkan semua kerusi yang telah dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan keputusan itu telah diluluskan majlis tertinggi parti.

“Majlis Tertinggi Umno telah memutuskan semua kerusi BN yang kita menang pada pilihan raya lalu, kita akan bertanding kembali kerusi tersebut.

“Walaupun penyandangnya telah keluar (parti), itu adalah kerusi Umno. Kita mesti merebut kembali kerusi itu,” kata Ahmad Zahid semasa berucap merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Bagan Datuk hari ini.

Di antara kerusi penting yang dimenangi Umno pada pilihan raya umum yang lalu termasuk Jeli (Mustapha Mohamad), Larut (Hamzah Zainuddin), Masjid Tanah (Mas Ermieyati) dan Tasek Gelugor (Shabudin Yahya).

Ahmad Zahid memberitahu perwakilan Umno dan parti lain dalam Barisan Nasional, bahawa parti itu tidak akan bergabung dengan gabungan Perikatan Nasional yang baharu didaftarkan walaupun terdapat khabar angin bahawa ia akan berlaku.

“Umno dan BN tidak akan bergabung dengan PN, tidak ada piagam baru yang ditandatangani. Mesyuarat November bukan untuk menandatangani piagam baru.

“Kami memutuskan untuk membentuk dewan presiden kerajaan PN dan bertindak sebagai penimbang tara,” katanya.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga turut berkata pada pilihan raya akan datang Umno dan parti-parti lain dalam BN akan menggunakan logo BN yang digunakan secara tradisi  dan tidak akan menggunakan logo baharu PN.

“Majlis tertinggi juga memutuskan pada PRU ke-15, kita akan menggunakan logo BN untuk semua calon kita. Kita tidak akan menggunakan logo parti lain. Terserah kepada mereka untuk menggunakan logo apa yang mereka mahukan tetapi bagi Umno, kita akan menggunakan logo BN untuk bertanding,” kata Ahmad Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menambah bahawa Umno dilayan secara tidak wajar dalam kerajaan PN walaupun parti itu menyumbang kerusi terbanyak, parti itu tetap diketepikan. – 3 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen