OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki karam di perairan Pulau Perhentian, Terengganu, Khamis lepas, kini diperluaskan sehingga kira-kira enam batu nautika dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhamad berkata meskipun anggota penyelamat gagal menemukan sebarang petunjuk dalam usaha mencari mangsa, Asaari Leh, 46, namun operasi SAR tetap diteruskan.
“Pasukan SAR juga berdepan kesukaran kerana keadaan laut yang masih bergelora dan berombak tinggi. SAR diteruskan dengan melibatkan aset-aset milik APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut,” katanya pada sidang akhbar di IPD Besut pagi ini.
Tambahnya, operasi SAR turut membabitkan penggunaan sebuah helikopter milik APMM.
Dalam perkembangan lain Abdul Rozak berkata pihaknya menahan seorang lelaki dipercayai tokan dadah kerana disyaki menyimpan dan memiliki selaras senapang angin buatan sendiri di Kampung Pak Wong dekat Jertih di Besut, pada 10.30 pagi Khamis lepas.
Abdul Rozak berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 49 tahun yang memiliki kemahiran mengimpal besi itu membuat sendiri senapang berkenaan yang dipercayai digunakan untuk menjaga keselamatan dirinya.
“Turut dirampas ialah 13 butir bebola besi yang dijadikan peluru senapang tersebut selain satu botol lut sinar dipercayai mengandungi dadah jenis heroin seberat 3.35 gram yang bernillai RM650.
“Operasi tersebut pada awalnya untuk memberkas suspek yang dipercayai terlibat dengan pengedaran dadah, namun sebaik serbuan dilakukan di rumah suspek, turut menemukan senapang angin yang diletakkan di belakang pintu utama rumahnya,” katanya.
Abdul Rozak berkata, saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan kini ditahan reman empat hari untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39(A)1 Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama, 3 Januari, 2021.
Komen