Umno dibentuk untuk memimpin, bukan dipimpin, kata Najib


Alfian Z.M. Tahir

UMNO akan gagal jika membiarkan parti dikawal oleh kerajaan, kata Najib Razak.

Mengisytiharkan bahawa parti itu dibentuk untuk memimpin dan bukan dipimpin, ahli Parlimen Pekan itu berkata bahawa parti itu harus kembali menjadi parti pendokong di Putrajaya.

Walaupun Najib tidak secara khusus menamakan mana-mana pihak, ucapannya diyakini ditujukan kepada puak Bersatu yang kini berada dalam kawalan kerajaan pusat dan juga dipercayai mengawal beberapa menteri Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional.

“Umno tidak dibentuk untuk menyokong mana-mana parti apatah lagi menjadi parti pembangkang. Umno dibentuk untuk memimpin agar tidak dipimpin.

“Sekiranya Umno terus menjadi sebahagian daripada parti komponen, menyokong kerajaan tetapi dianggap sebagai kelas kedua, kita akan segera melihat pengakhiran Umno,” katanya. 

“Kita dahulu peneraju agenda dan hala tuju bukan seperti hari ini menjadi pendokong dan pengikut, asal ada jawatan menteri sudah gembira.

“Kita harus keluar dari putaran ganas kehilangan keyakinan diri untuk membina kejayaan baru dan berterusan, jika kita berterusan kekal maka Umno akan berakhir sebagai parti politik yang berpengaruh,” katanya ketika merasmikan mesyuarat bahagian Umno Pekan hari ini.

Najib bukan pemimpin Umno pertama yang menyerang Bersatu dalam mesyuarat bahagian.

Semalam Setiausaha Umno Bahagian Pagoh Kamarul Ariffin Mohamed berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak akan menang mudah di Pagoh pada pilihan raya akan datang kerana parti itu akan meletakkan calonnya sendiri di kerusi tradisionalnya.

Kamarul berkata walaupun Ketua Bahagian Pagoh Ismail Mohamed memberitahu perwakilan bahawa kepimpinan negeri Umno memutuskan untuk bertanding di semua kerusi kecuali Pagoh, mereka menolak keputusan negeri itu.

Bertanding di bawah logo PKR, Muhyiddin mempertahankan kerusi Pagoh untuk penggal keenam pada pilihan raya lalu selepas mengalahkan Ismail dan calon PAS Ahmad Nawfal dengan 6,927 undi setelah memperoleh 23,558 undi.

Menyebut berkenaan kesukaran untuk bekerjasama dengan parti majoriti Cina DAP, Muhyiddin kemudian mengeluarkan Bersatu dari Pakatan Harapan pada Februari tahun lalu sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan pusat seterusnya kerajaan negeri di Kedah, Perak, Melaka dan Johor.

Pengarah Pilihanraya Umno Tajuddin Abdul Rahman juga menjelaskan semalam bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Sebagai tambahan Ketua Perhubungan Umno Pahang Wan Rosdy Wan Ismail memberitahu Bersatu untuk tidak bertanding di Pahang kerana parti itu tidak mempunyai kerusi di negeri berkenaan.

Sementara itu Free Malaysia Today melaporkan bahawa Umno Pulai di Johor menjadi bahagian pertama dalam parti meluluskan usul yang meminta pemimpin parti untuk segera keluar dari kerajaan PN bagi memaksa pilihan raya umum diadakan.

Ketuanya Nur Jazlan Mohamed berkata ahli Umno khuatir kegagalan PN memerintah dengan baik akan dikaitkan sebagai “kegagalan kita bersama dan Umno-BN akan dijadikan kambing hitam untuk dikorbankan lagi.”

Oleh itu UmnoPulai mahukan pimpinan parti menamatkan sokongan kepada kerajaan PN selain mendesak pilihan raya umum diadakan “sekarang.” – 3 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen