Dolak dalik politik 2020, wabak berjangkit 2021 


Zainal Rashid Ahmad

SUASANA flip flop atau dolak dalik politik sama dahsyat dengan varian Covid-19. Kalau pandemik yang menjangkiti hampir 85 juta manusia dan membunuh lebih 1.8 juta nyawa ini geger dengan dua jenis varian yang menakutkan, politik juga tidak kurang bahayanya. 

Covid-19 menyebabkan dunia diancam gelombang jangkitan D614G pada Ogos lalu dan varian 5.1.1.7 yang muncul Disember, menyebabkan dunia panik dan “lockdown” dikenakan di banyak negara maju. 

Manakala varian politik pula menyebabkan strain kecelaruan yang menjadikan tahun 2020 sangat haru-biru. 

Kecelaruan krisis politik dan pandemik Covid-19 datang serentak pada awal 2020. Gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018, jatuh pada 24 Februari tahun lalu. 

Variannya mudah; strain Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin keluar PH kerana anti DAP. Manakala, strain kem Mohamed Azmin Ali meninggalkan PKR kerana anti Anwar Ibrahim. Pada masa sama wabak Covid-19 mula menjejaskan kehidupan 32 juta rakyat apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac. 

Ketika Covid-19 mula menyebabkan sejuta orang hilang pekerjaan dalam tempoh sembilan bulan, virus politik memburukkan lagi keadaan dengan menjadikan pelabur panik melihat stabiliti politik dan ekonomi. 

Varian Covid-19 vs varian politik 

Varian 5.1.1.7 terus mewabak dan membimbangkan dunia apabila melangkah tanggal 1 Januari tahun ini. Di negara kita, tahun baru diraikan dengan 113 ribu jangkitan dan 471 kematian. Malam tahun baru, 22 ribu kes aktif masih mengancam persekitaran kesihatan. 

Varian politik turut melangkah tahun baru dengan api perselisihan faham dua parti utama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Umno dan Bersatu “bertelagah” secara keras dan terbuka. Manakala, Umno dan PAS berkelahi dalam senyap tapi hangat. 

Seperti jatuhnya kerajaan PH kerana isu “perkauman” antara Bersatu dan DAP serta krisis kem Anwar dan Azmin dalam PKR, suasana kerajaan PN juga sentiasa “ibarat telur di hujung tanduk”. 

Walaupun di Parlimen pasukan PN kukuh mempertahankan Bajet 2021, tetapi permusuhan kearah runtuhnya kerajaan boleh terjadi pada bila-bila masa. 

Rakyat muak, enggan peduli 

Portal berita, berita TV/radio dan akhbar kekal fokus pada laporan politik. Pastinya, semua platform berita ini memiliki data sahih bagi kajian demografi pembaca. Sangat jelas, betapa merudumnya angka bacaan laporan mengenai politik. 

Malah, komen “pembenci” politik meningkat dengan mendadak. Rakyat mahukan berita yang relevan dengan kegetiran hidup mereka. 

Setahun dilanda krisis ekonomi akibat Covid-19, rakyat dahagakan laporan berita yang signifikan. Paling tidak pandangan mengenai “jalan keluar” bagi mengatasi penderitaan mereka. 

Berita politik dan perkelahian antara komponen PN dan PH bukan setakat menyebabkan pembaca “meloya” – malah menjadikan mereka “pemaki” di kolum komentar. 

Rakyat lebih suka berada di Facebook melihat akaun yang aktif dengan tips mengendalikan kesukaran hidup ketika kehilangan kerja dan pendapatan. 

Atau, mengikuti akaun media sosial milik individu dan perkumpulan yang menjalankan kerja-kerja amal bagi membantu mereka yang benar-benar menderita akibat krisis ekonomi. 

Kisah lima sekeluarga tinggal dalam kereta buruk kerana dihalau keluar rumah sewa akibat gagal membayar tunggakan, dilihat 100 kali lebih baik daripada membaca “perang” peribadi antara Anwar dan Dr Mahathir. 

Kisah wanita mengambil upah menolak troli barangan pembeli di pasaraya besar lebih relevan dan dibaca Facebook. 

Kisah kemanusiaan kini dinilai sebagai “berita” penting ketika lebih sejuta orang kehilangan kerja. 

Status Facebook lebih menambat pembaca: “Saya hilang kerja dan sekarang saya jual kek. Anda boleh tempah demi bantu dua anak saya yang masih kecil.” 

Status ini pasti dikongsi. Pemilik akaun yang miskin akan berkongsi sebanyak mungkin posting “meraih simpati” bagi memastikan survival rakan senasib. 

“Kita jaga kita” bukan sekadar menjaga kawalan pandemik Covid-19. Bagi warga media sosial melaksanakan konsep ini dilakukan dengan pengertian yang lebih meluas. 

Ahli politik sengal 

Ahli politik sengal dan dipengaruhi rasa tamak pula akan sentiasa menjerit mahukan PRU segera. 

Tanpa peduli pada derita rakyat, setiap hari “mental disorder politician” akan menyalak dan menyalak mahukan kuasa dan pilihan raya segera. 

Tiga perempat menteri kabinet pula kelihatan jelas tidak berfungsi. Pasukan kerja menteri juga kelihatan “hilang akal” untuk melaksanakan tugas secara bijak. Ramai yang berada di sekeliling menteri lebih selesa dengan sikap “tunggu dan lihat”. 

Dalam sejarah negara sejak PRU pertama 1955, barisan kabinet sekarang dianggap paling tidak produktif. 

Tiga perempat jemaah menteri lebih suka mendiamkan diri dan menjadi halimunan di tengah derita rakyat. 

Mengapa? Sebab menteri pun tidak pasti berapa hari lagi kerajaan yang ada hari ini mampu bertahan. 

Menteri tidak berani terlalu tampil ke depan kerana bermain “politik selamat” dan tidak mahu dilihat terlalu obses. 

Mana yang bersuara pula, bekerja dengan “tuannya” kerana mahu dilihat perdana menteri sebagai “orangnya”. 

Mana yang bukan dari kem Muhyiddin akan bekerja “ala kadar” jadinya. Menteri jenis ini terutama daripada Umno, tidak mahu dilihat sebagai “wira” perdana menteri. 

Sikap ini bukan aneh! Semua orang tahu Umno mahukan PRU15 segera diadakan. 

Barisan menteri Umno lebih menyisihkan diri bagi menjaga “kedudukan” untuk tidak terlalu dilihat sebagai “orang” perdana menteri. 

Terlalu bekerja dan nampak setia pada perdana menteri akan menyebabkan nama mereka mungkin “digugurkan” presiden Umno. 

Semua orang tahu, Ahmad Zahid Hamidi dan Muhyiddin “berperang” dalam senyap. Apa pun bunyi pedang berdesingan setiap hari. 

Tiap kem politik dari semua parti yang berkrisis memiliki “meriam” tersendiri. “Meriam” ini diarahkan berdentum setiap masa demi menjaga “warlord” masing-masing. 

Sejak 2020 dan kini melangkah 2021 – keadaan tidak berubah. 

Ahli politik yang tamak kuasa akan terus berusaha memusnahkan kerajaan PN dan mahu PRU15 segera diadakan. 

Inilah varian politik paling bahaya. – 3 Januari, 2021.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen