SPRM wajar siasat jalan berlubang, gesa aktivis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengasas Brotherhood Azlan Sani Nawawi berkata pihaknya menerima purata 100 aduan jalan berlubang dalam tempoh sebulan, dengan kebanyakannya di Selangor.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkifli, 3 Januari, 2021.

KEGIATAN rasuah dan penyelewengan dipercayai punca jalan raya berlubang walaupun baru diturap, kata kata Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), yang menggesa agensi anti rasuah campur tangan dan menyiasat.

Brotherhood adalah kumpulan sukarelawan yang giat secara sukarela menampal jalan berlubang di serata negara sejak 2008.

Pengasasnya Azlan Sani Nawawi, atau lebih dikenali dengan nama Lando, berkata peruntukan baik pulih jalan di Malaysia menelan belanja ribuan ringgit tetapi jalan yang diturap akan berlubang balik dalam masa singkat.

“Kontraktor biasanya akan memohon peruntukan projek antara RM4,000 hingga RM5,000 untuk satu lubang standard tetapi kos asalnya hanya antara RM50 hingga RM70.

“Meskipun kos yang diminta kontraktor adalah mahal, tetapi jalan yang diturap akan berlubang dengan cepat.

“Sebab itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu masuk campur dan siasat mengenai isu ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Azlan menyebut Selangor dan Johor antara negeri paling banyak jalan berlubang.

Beliau mendedahkan pihaknya menerima purata 100 aduan jalan berlubang dalam tempoh sebulan, dengan kebanyakannya di Selangor.

“Minggu lepas di Kapar kami terima 45 aduan jalan berlubang dan aduan akan bertambah sekiranya musim hujan. Sebaik menerima aduan kami akan salurkan kepada pihak berwajib,” katanya.

Beliau juga mendedahkan ada beberapa aduan melibatkan jalan yang sama, yang pernah diadu kepada pihaknya tiga kali dalam masa seminggu.

“Ini yang perlu disiasat sebenarnya,” katanya.

Pihak berkuasa juga wajar menyiasat dakwaan orang ramai mengenai kontraktor yang menjual tar atau menurap jalan, dan mengenakan bayaran.

“Ini tidak patut sama sekali,” katanya.

Azlan, yang juga pelakon drama televisyen dan filem, mula menjalankan kerja sukarela menampal jalan berlubang selepas serik menunggu pihak berkuasa tempatan bertindak membetulkan keadaan selepas rakannya kemalangan.

Kegiatan sukarelawan Brotherhood sebelum ini mendapat perhatian media, malah aktivisnya juga pernah ditahan oleh polis selain dituduh main politik untuk memburukkan pihak berkuasa tempatan.

Menurut Azlan, pihaknya pernah membuat aduan kepada SPRM dan beliau difahamkan susulan itu, beberapa pegawai dihantar berkursus di Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) untuk memahami penyelewengan dalam isu baik pulih jalan raya.

“Sekiranya perlu, kami sedia bekerjasama dengan SPRM kerana tahu agensi itu tidak mempunyai banyak pengetahuan atau pegawai yang arif dalam kes rasuah dalam penyelenggaran jalan.

“Kami sedia berkongsi segala maklumat dan aduan yang boleh membantu siasatan,” katanya.

Isu jalan berlubang jadi perhatian selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin cedera terjatuh basikal kerana terlanggar lubang jalan semasa berbasikal di Banting, Selangor, hujung minggu lalu.

Kemalangan kecil itu jadi perhatian apabila Jabatan Kerja Raya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Khairy.

Sikap JKR itu dikecam oleh ramai pihak yang menganggapnya sebagai keterlaluan dan pilih bulu, ketika ramai orang yang cedera lebih teruk dan hilang mata pencarian, malah ada yang meninggal dunia kerana kemalangan akibat jalan berlubang tetapi jabatan itu tidak pernah memberi apa-apa reaksi.

Pada 30 Disember, Kementerian Kerja Raya (KKR) mengulangi komitmennya untuk memastikan setiap jalan raya yang berlubang, akan ditampal dalam tempoh 24 jam.

Menurut KKR dalam satu kenyataan, Kempen Zeropothole (Sifar Jalan Berlubang) yang dijalankan dari 2016 hingga 2018, sudah diperkenalkan semula pada Julai lalu.

Katanya, inisiatif kementerian bersama enam syarikat konsesi Jalan Persekutuan di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan, akan memperkukuh komitmen dalam perkhidmatan penyelenggaraan jalan raya. – 3 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen