Ada apa dengan azam baru?


SABAN tahun menjelang akhir tahun dan masuk awal tahun, kita akan ditanyakan apakah azam tahun baru kita. Persoalannya sudah tertunaikah azam tahun lama?

Tahun baru dikatakan penanda aras pencapaian baru bagi kerjaya, keluarga dan individu. Secara dasarnya kita sepatutnya menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya. Hari ini sepatutnya lebih baik daripada semalam. Jika tidak, kita akan menjadi insan yang rugi dari segi masa dan usia yang tidak akan bertambah muda.

Azam ialah pernyataan kesungguhan bagi mencapai matlamat tertentu. Senang saja mengucapkan azam tanpa benar-benar merealisasikannya. Berazam dan berangan-angan itu juga percuma saja.

Azam juga daripada segi falsafahnya menunjukkan manusia secara umumnya menunjukkan keinginan untuk berubah dari banyak segi. Namun secara amnya manusia ini sukar untuk berubah sikap dan perilakunya.

Antara faktor yang memungkinkan perubahan diri seseorang ialah apabila melalui pengamalan hidup yang sukar yang boleh mendewasakan seseorang.

Oleh itu, ujian itu perlu bagi muhasabah diri seseorang menjadi individu yang lebih baik. Terpulang kepada manusia untuk mengambil pengajaran akan apa yang dijalani menggunakan akal dan budi yang dikurniakan Ilahi. Jika tidak tersedar maka individu itulah sendiri yang merugi.

Untuk mencapai azam baru perlu perubahan sikap positif dan optimis juga cuba meninggalkan sikap negatif untuk pembangunan diri.

Tiada perubahan sikap atau pencapaian mungkin baik  tetapi takutnya secara spiritualnya kosong.Ini mungkin lebih baik daripada seseorang yang berubah 360 darjah menjadi lebih teruk dari sebelumnya.

Manusia juga secara dasarnya suka mempertontonkan sisi baiknya dan menyembunyikan sisi buruknya melainkan orang yang pernah bekerjasama dengannya akan ada pengalaman berurusan dengannya sama ada baik atau buruk.

Warna sebenar seseorang mungkin dilihat walaupun cuba bersikap hipokrasi. Seseorang yang terlihat zahirnya baik tidak semestinya baik. Sebaliknya juga seseorang yang terlihat zahirnya buruk juga tidak semestinya buruk.

Pakaian terutamanya boleh menipu daya kerana pakaian terbaik yang sebenar bukanlah bagus dan cantiknya material bajunya tetapi pakaian takwa. Iman juga bukan sahaja terucap di bibir tetapi dimanifestasi di hati dan terbit dengan perlakuannya. Sayugia diingatkan manusia juga menipu dengan kata-katanya. 

Segala sikap dasar manusia ini menyumbang pada perubahan sikap dan perubahan seseorang. Usaha juga azam ke arah lebih baik memerlukan komitmen, iltizam dan istiqamah. Selain itu perlu juga sikap ambil peduli juga sikap tidak mementingkan diri sendiri. Ini penting terutamanya dalam mencapai matlamat kerjaya dalam organisasi yang tidak mungkin bergerak sendiri-sendiri.

Haruslah diingat hidup ini ibarat roda. Kadang-kadang kitalah yang paling terkanan dan berkuasa bagai dunia ini kita yang punya. Namun struktur sesetengah organisasi terkadang tidak menyebelahi dan memungkinkan seseorang itu kekal berkuasa. Akan ada juga ketika pada suatu masa nanti kita perlu tunduk dan akur pada kehendak yang berkuasa.

Dalam mengejar azam dan cita-cita ramai yang hilang arah dan pedoman. Walau difahami manusia itu tidak sesempurna namun yang penting ialah mempunyai dan mengamalkan norma yang diterima ramai.

Sesetengah manusia mempunyai norma yang terpilih-pilih mengikut mengikut kepentingan, kesesuaian dan keselesaan diri. Berada pada tahap selesa juga antara sebab yang menyebabkan kurangnya motivasi dan jati diri untuk mencabar diri bagi mencapai tahap yang lebih tinggi.

Faktor ini menyebabkan kurangnya toleransi yang menyukarkan komunikasi bagi mencapai matlamat organisasi dan hakiki.

Sesetengah manusia suka mengambil kesempatan dan boleh dikenal pasti modus operandinya yang menyebabkan diri masih berada di takuk yang lama.

Tahun baru kita perlu bermuhabasah bahawa kita bukan hidup sendiri. Apabila sesetengah hal tidak seindah yang diimpikan maka renung-renungkanlah dalam mengejar destinasi apakah yang disisihkan di tepi.

Selain faktor sikap dan dirinya, masalah persekitaran juga penyebab azam lama sukar tertunai.Ditambah dengan norma hidup zaman Covid-19 sepanjang 2020 ini membuatkan kita nampaknya terpaksa hidup beradaptasi dengan pandemik samada kita suka atau tidak. Mungkin juga ada hikmah yang tersirat dan tersurat.

Yang penting bukanlah azam baru tetapi empunya dirilah yang perlu memperbaharui niat, sikap, iltizam dan motivasi diri.

Azam adalah pemangkin bagi mencapai cita-cita duniawi dan ukhrawi. Benar seseorang perlukan masa untuk berubah namun yang penting ialah keredhaan dan restu Ilahi yang memungkinkan semua perubahan terjadi.

Selain itu roda dan rona hidup yang dilalui seharusnya membuka mata hati agar pisang tidak berbuah dua kali dan terjadilah azam itu tidak lain hanya sebuah retorik perbincangan tahunan ditambah dengan pelbagai rencah dan rasa. – 2 Januari, 2021.

* Dr Noor Dzuhaidah Osman ialah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen