Amanah bertanding 9 kerusi pada PRN Sarawak


Desmond Davidson

PH Sarawak hari ini capai persetujuan berhubung pembahagian 82 kerusi DUN yang akan dipertandingkan pada pilihan raya negeri akan datang. – Gambar The Malaysian Insight, 2 Januari, 2021.

HANYA sembilan kerusi diperuntukkan kepada Amanah untuk dipertandingkan pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang susulan parti itu gagal mempertahankan beberapa kerusi yang ditandingi pada 2016.

Amanah tewas kepada PKR di kawasan majoriti Melayu di Sadong Jaya, Beting Maro, serta kerusi majoriti Melanau di Balingian dan Daro.

Pengerusi Amanah Sarawak Abang Abdul Halil Abang Naili berkata keputusan tersebut dibuat untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru dalam Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

“Kita beri kepada rakan yang mempunyai peluang lebih cerah untuk menang,” katanya pada sidang media di Kuching, hari ini.

PKR akan bertanding di 47 kerusi, manakala 26 diperuntukkan kepada DAP daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

PKR dan DAP sepakat untuk mengagihkan kerusi dengan adil, dengan PKR akan meletakkan calon di kawasan luar bandar.

Pada PRN 2016 lalu kedua-dua parti bertembung di enam kawasan - Batu Kitang yang majoritinya masyarakat Cina; Mambong (Bidayuh); Simanggang (campuran) serta kawasan luar bandar Mulu, Murum dan Ngemah.

Pada sidang media hari ini juga, DAP memaklumkan parti itu menyerahkan dua kerusi majoriti Dayak iaitu Pakan dan Katibas untuk ditandingi PKR.

Calon DAP, Rinda Juliza hanya berjaya memperoleh 285 kerusi Pakan dalam pertembungan tiga penjuru yang dimenangi oleh calon langsung Barisan Nasional (BN) yang juga bekas presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) William Mawan pada PRN Sarawak 2016.

Mawan menang dengan majoriti 426 undi. Beliau memperoleh 3,999 undi, menewaskan lawan terdekatnya, seorang calon Bebas yang memperoleh 3,573 undi.

Di Katibas, calon DAP Frankie Bendindang Manajh tewas kepada calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) Wilson Nyabong Ijang yang menang dengan 3,778 undi. – 2 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen