Agong, permaisuri zahir dukacita kemalangan timpa Nur Izzah


Nur Izzah Mohd Shokri sedang dirawat Salford Royal Hospital, England selepas kecederaan serius akibat bertembung dengan sebuah bas ketika menunggang basikal. – Gambar Facebook, 2 Januari, 2021.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan rasa sedih atas kemalangan menimpa pelajar Malaysia, Nur Izzah Mohd Shokri di Manchester, England, Isnin lepas.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua mendoakan semoga Nur Izzah, dikurniakan kesembuhan dengan segera dan kembali pulih seperti sedia kala.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berharap agar seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan ini.

“Marilah bersama Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga Nur Izzah dikurniakan kesembuhan dan keafiatan dengan segera,” kata kenyataan itu.

Nur Izzah, 20, yang merupakan pelajar  tahun pertama jurusan perakaunan dan kewangan di Universiti Manchester, kini berada dalam keadaan koma dan sedang mendapat rawatan di Salford Royal Hospital, England selepas menjalani pembedahan.

Pelajar yang berasal dari Karak, Pahang itu dilaporkan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan tulang rusuk selepas bertembung dengan sebuah bas ketika sedang menunggang basikal Wilmslow Road, Rusholme dalam kejadian pukul 4.25 petang. – Bernama, 2 Januari, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen