Biar Umno sokong Anwar, daripada terus dibuli oleh rakan sekutu


SELEPAS 10 bulan Perikatan Nasional (PN) memerintah negara sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), politik negara masih lagi goyah apabila jumlah majoriti yang dimiliki kerajaan hanya dibezakan dengan 3 kerusi. 

Berdasarkan undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021 yang dibentang oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, kerajaan PN hampir tumbang apabila terdapat desas-desus yang mengatakan segelintir ahli Parlimen daripada Umno akan menolak belanjawan tersebut jika permintaan daripada pihak mereka gagal dipersetujui oleh kerajaan. 

Namun, segalanya terjawab apabila ahli Parlimen daripada Umno tetap menyokong walaupun permintaan mereka tidak ditunaikan. 

Selepas beberapa siri serangan yang dilakukan oleh pihak pembangkang antaranya mengusulkan undi tidak percaya di Parlimen dan usaha Anwar Ibrahim mempersembahkan akuan bersumpah (SD) yang dimilikinya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober lepas, pentadbiran Muhyiddin Yassin masih lagi gagal ditumbangkan oleh kerana pendirian Umno yang tidak jelas. 

Meskipun, terdapat beberapa nama yang disebut menyokong Anwar antaranya Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak, namun sehingga ke hari ini tiada apa-apa yang berlaku.

Saya berpendapat Umno berada dalam dilema iaitu sama ada ingin terus menyokong pemerintahan Muhyiddin ataupun membentuk gabungan politik baru bersama PKR, DAP dan Amanah.  

Hal ini tercetus apabila terdapat beberapa veteran dalam Umno antaranya ialah Mohd Puad Zarkarshi, Tengku Razaleigh Hamzah dan Shahrir Samad yang menyeru ahli Parlimen daripada Umno menarik sokongan mereka dari terus menyokong kepimpinan Muhyidddin. 

Bagi mereka, Umno telah dibuli dengan teruk dan ketidakadilan berlaku apabila ahli Parlimen Umno hanya menjawat jawatan portfolio yang tidak penting dalam kabinet, meskipun mempunyai ahli Parlimen yang terbesar dalam kerajaan PN.

Umno juga tidak lagi memegang jawatan ketua menteri di Sabah.

Adakah Umno sedar mereka bukan lagi kuasa besar dalam politik tanah air? 

Berdasarkan perjanjian yang dimeterai antara parti dalam PN, Umno terpaksa melepaskan Sabah, Sarawak, Kedah, Terengganu dan Kelantan kepada Bersatu, GPS dan PAS. 

Sedarkah Umno bahawa mereka mungkin terpaksa melepaskan beberapa negeri lagi misalnya di Johor, Perak dan Melaka, jika terus berada dalam PN pada PRU 15 akan datang? 

Sedarkah bahawa Umno terpaksa melepaskan kerusi yang dimenangi kepada wakil rakyatnya yang telah berpaling tadah  ke Bersatu? 

Ini ditambah lagi dengan “sahabat sejati” mereka iaitu PAS yang seolah-olah berpihak kepada Muhyiddin dan seakan-akan sudah lupa piagam yang dipersetujuinya bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN).  

Amat tidak wajar apabila jawatan timbalan perdana menteri tidak diserahkan kepada Umno dengan alasan Presiden Umno Zahid mempunyai kes di mahkamah.

Persoalannya, undang-undang mana yang menyatakan seseorang itu tidak layak menjawat jawatan timbalan perdana menteri kerana mempunyai kes yang masih berjalan walaupun belum dinyatakan bersalah atau tidak? 

Adakah Muhyiddin ingin menjadi diktator ataupun ingin menonjolkan imej bersih beliau kepada rakyat?

Ataupun mungkinkah benar desas-desus bahawa beliau mahukan Mohamed Azmin Ali menjadi penggantinya pada masa akan datang? 

Bagi saya, saranan pemimpin veteran Umno tersebut perlu disegerakan walaupun ditentang oleh segelintir ahli Parlimen Umno yang mendapat habuan jawatan dalam Kabinet dan GLC. 

Hal ini terbukti apabila Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin mengatakan tiada siapa yang layak menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri, baik dalam Umno mahupun pembangkang.

Beliau juga menyarankan Muhyiddin terus mengetuai kerajaan pada PRU15 akan datang. 

Persoalannya, adakah wajar pemimpin dalam Umno sendiri mengeluarkan kenyataan sebegini rupa? 

Dalam pada itu, terdapat juga beberapa pemimpin yang menyatakan bahawa Umno rela hilang kuasa daripada bekerjasama dengan DAP.

Mereka berasa orang Melayu akan menolak Umno jika menjalinkan hubungan dengan DAP kerana telah mengorbankan dasar perjuangan parti iaitu “abata” (agama, bangsa dan tanah air). 

Kini, slogan “No Anwar, No DAP” digunakan bagi memastikan tiada sebarang kerjasama dapat dilakukan. 

Saya merasakan Umno akan mengalami kerugian sangat besar jika terus menyokong kerajaan yang sedia ada.

Mereka tidak mungkin lagi berkuasa seperti dulu akibat dibayangi oleh parti Bersatu pimpinan Muhyiddin. 

Pada waktu yang sama, secara sedar atau tidak, Umno bakal hilang satu persatu pemimpin mereka yang sedang menjalani perbicaraan di mahkamah. 

Saya yakin ini masa yang tepat untuk menjatuhkan Muhyiddin dan seterusnya menamatkan penguasaan parti pimpinan beliau di peringkat persekutuan dan negeri.  

Buat masa ini, keputusan yang paling tepat ialah untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri di samping merangka strategi baru bagi menghadapi PRU15 kelak. 

Dengan menyokong Anwar sebagai perdana menteri ke-9, ia bukanlah satu langkah ke belakang, namun merupakan strategi yang mampu memastikan Umno kekal menjadi parti Melayu utama di negara ini tanpa perlu mengikut telunjuk PAS dan Bersatu.  – 2 Januari, 2021.  

* Muhammad Hafeezzur Rahman, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen