Kesesakan di Pelabuhan Klang jejas bekalan makanan


Khoo Gek San Bernard Saw

Pengimport makanan meramalkan kekurangan bekalan bagi beberapa jenis buah, sayur-sayuran atau produk tenusu jika isu kesesakan di Pelabuhan Klang tidak diatasi segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2021.

PENGIMPORT makanan khuatir kesesakan di Pelabuhan Klang akan menyebabkan gangguan bekalan dan permintaan di pasaran dalam beberapa bulan akan datang.

Kekurangan bekalan beberapa jenis buah, sayur-sayuran atau produk tenusu mungkin akan berlaku, kata pemain industri.

Sejak bulan lalu, kesan daripada kekurangan kontena, gudang yang sesak, kesesakan dan kelewatan pelepasan kastam telah mempengaruhi operasi Pelabuhan Klang.

Pengarah Techno Fresh Agro-Produce Sdn Bhd, Tee Liang Kwok baru-baru ini mengadakan sidang media bersama pengimport dan peruncit mengenai fenomena kesesakan pelabuhan itu.

Kapal dikatakan tidak dapat berlabuh tepat waktu yang dijadualkan selepas tiba di pelabuhan. Hal ini menyebabkan mereka harus menunggu bagi memunggah dan memeriksa barangan selain beberapa prosedur lain yang berkaitan.

Tee berkata ketika ini kapal tidak boleh keluar daripada bahagian kastam walaupun dalam tempoh seminggu.

Sekiranya kesesakan tidak dapat diatasi dalam tempoh dua bulan akan datang, beliau percaya beberapa jenis sayuran akan berlebihan dan ada yang akan berkurangan.

Sebagai contoh, beliau berkata bekalan cili, kobis dari China akan menurun sekurang-kurangnya 30% hingga 40%.

“Apabila pelepasan kapal ditunda dan beberapa sayur busuk, kami tidak dapat membekalkannya kepada pelanggan.

“Sebilangan sayur-sayuran mempunyai jangka hayat yang lebih lama masih boleh kita bekalkan kepada pelanggan seperti biasa,” katanya.

Natijahnya, kata beliau, akan wujud fenomena penurunan atau kenaikan harga sayur-sayuran yang diimport.

“Apabila kontena yang kami pesan ditunda, kami terpaksa kumpulkan sayur dengan harga lebih tinggi dan membekalkannya kepada pelanggan.

“Setelah kontena dipunggah, kami terpaksa menjual sayur-sayuran dengan jangka hayat yang pendek kepada pelanggan dengan potongan harga bagi mengurangkan kerugian.

“Oleh itu, harga beberapa sayur-sayuran di pasar mungkin jatuh kerana kelebihan bekalan. Namun, mereka juga akan terpaksa membuang sayur-sayuran busuk, menjadikan bekalan sayur berkurangan dan akhirnya harga naik.”

Syarikat yang menerima 200 hingga 300 kontena setiap bulan terpaksa meghadapi masalah buat kali pertama dalam tempoh beberapa tahun menjadikannya sebuah permasalahan yang “rumit”.

Sekiranya situasi pelepasan kastam di pelabuhan tidak dapat diselesaikan dalam jangka pendek, bekalan sayuran dari 1 hingga 10 Februari pasti akan terjejas, kata Tee.

“Kami berharap agar Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dapat mempercepat pemeriksaan untuk mengelakkan ia menjejaskan barangan yang diangkut kontena.” – 2 Januari, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen