Sarawak catat enam kes penularan tempatan


Desmond Davidson

Ketika ini, punca jangkitan di Meradong sudah diketahui, namun punca jangkitan di Kuching masih dikenal pasti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2021.

AMARAN pandemik oleh jabatan kesihatan di Sarawak ditingkatkan hari ini selepas negeri itu mencatat enam kes penularan tempatan - tiga di daerah Kuching dan tiga di bandar Meradong.

Ketika ini, punca jangkitan di Meradong sudah diketahui, namun punca jangkitan di Kuching masih dikenal pasti.

Dalam satu kenyataan, jawatankuasa pengurusan bencana negeri (JBPN) berkata mangsa Covid-19 ke-1111, adalah seorang lelaki. Dia diuji positif dalam ujian saringan yang dilaksanakan di sebuah hospital swasta semalam.

Lelaki itu mengambil ujian saringan setelah mengadu mengalami demam dan batuk sejak Selasa.

JBPN berkata, lelaki yang bekerja dalam industri telekomunikasi di Kuching itu sebelum ini telah mendapatkan rawatan kerana batuk dan demamnya di klinik swasta.

Bagaimanapun, gejala demam dan batuknya tidak pulih dan dia pergi ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.

Pasangan perempuannya yang turut mengadu batuk mengambil ujian di hospital yang sama.

Salah seorang rakannya yang baru-baru ini ditemuinya turut dijangkiti. Mangsa adalah seorang eksekutif jualan dan menjalani ujian Covid-19 semalam setelah mengalami demam dan batuk.

Kesemua mereka telah dimasukkan ke unit kuarantin hospital Sarawak di Kuching.

Jawatankuasa bencana berkata bahawa jangkitan itu dikategorikan sebagai penularan tempatan kerana ketiga-tiga mereka tidak melakukan perjalanan rentas negeri.

Di Meradong, tiga kes yang dikesan hari ini adalah hasil usaha pengesanan aktif yang sedang berlangsung.

Mereka semua adalah ahli keluarga kes indeks yang baharu pulang dari kawasan berisiko tinggi.

Kes indeks diperintahkan untuk menjalani kuarantin rumah setelah kembali dari Kuala Lumpur pada 19 Disember.

Dari ketiga-tiga kes, dua kes menunjukkan gejala jangkitan.

Jawatankuasa bencana juga mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini dilanjutkan tiga bulan lagi hingga 31 Mac sejajar dengan keputusan kerajaan persekutuan baru-baru ini di semenanjung.

JBPN juga menjelaskan bahawa semua prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan kesihatan yang dilaksanakan ketika ini akan diperluas.

Ia termasuk kuarantin 10 hari kuarantin wajib dan dua ujian Covid-19 semasa dikuarantin. – 1 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen