KETUA Polis Negara Abdul Hamid Bador mengakui bahawa terdapat kumpulan polis kotor dalam pasukannya di samping turut berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut.
Hamid berkata demikian dalam wawancara bersama Utusan Malaysia dan turut menambah bahawa pegawai kanan polis turut mendalangi kartel tersebut.
Ketika menjelaskan perkara tersebut, Hamid berkata kumpulan ini melakukan kerja kotor mereka dengan memastikan “saudara kartel” mereka dinaikkan pangkat sebelum menguasai hirarki polis.
“Saya menyedari masalah ini. Dalam 10 hingga 15 tahun dari sekarang, mereka akan menjadi pegawai atasan dan ketika itu mereka mula melakukan kerja kotor termasuk bekerjasama dengan penjenayah.
“Saya akan berusaha dan memastikan bahawa ini tidak berterusan. Namun saya tahu, orang-orang tertentu tidak sabar mahu lihat saya bersara,” katanya kepada akhbar harian tersebut.
Sebelum menerajui jawatan ketua polis negara pada 2018, Hamid adalah pegawai kanan polis pertama yang membicarakan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.
Hamid adalah timbalan pengarah Cawangan Khas ketika itu sebelum beliau dipindahkan dari pasukan polis untuk mengambil alih jabatan ‘Keselamatan dan Transnasional’ yang baru ditubuhkan di Jabatan Perdana Menteri.
Hamid enggan menerima jawatan itu dan mengundurkan diri daripada pasukan polis. Namun setelah Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau secara peribadi diminta perdana menteri baharu Dr Mahathir Mohamad untuk bergabung semula dengan pasukan polis dan dinaikkan pangkat sebagai pengarah cawangan khas sebelum menggantikan Noor Rashid Ibrahim sebagai pemangku timbalan ketua polis negara.
Beliau kemudian dilantik sebagai ketua polis negara bagi menggantikan Fuzi Harun yang tidak melanjutkan kontraknya. – 1 Januari, 2021.
Komen