4 nelayan ditemukan selamat, seorang masih hilang 


EMPAT daripada lima nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki karam di perairan Pulau Perhentian di Kuala Besut petang semalam, ditemukan selamat pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Rozak Muhammad berkata keempat-empat mangsa iaitu tekong bot, Tuan Azaha Tengku Long, 47; anaknya Tuan Arizal, 19; Mohd Azri Mohd Rosdi, 28; seorang awak-awak dikenali sebagai Ujang, 40, yang kesemuanya dari Kelantan, ditemukan di pesisir pantai berhampiran sebuah resort  di Pulau Perhentian Besar kira-kira 8.45 pagi.

“Mangsa yang memakai jaket keselamatan ditemukan penduduk kampung dan dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian untuk mendapatkan rawatan awal.

“Keadaan mangsa kini stabil namun masih belum dapat bercakap dipercayai kerana terlalu terkejut dengan kejadian itu dan mereka akan dibawa ke tanah besar apabila keadaan sesuai,” katanya.

Seorang lagi mangsa Saari Saleh, 40, yang berasal dari Terengganu masih belum ditemukan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia sedang giat melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Dalam kejadian 1 tengah hari semalam, bot nelayan yang dinaiki lima nelayan itu dipercayai karam di perairan Pulau Perhentian akibat dipukul ombak ketika keadaan laut bergelora dan cuaca hujan lebat. – Bernama, 1 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen