Enam maut dalam serangan bunuh diri di Afghanistan 


Anggota pasukan keselamatan menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serangan bunuh diri di Kabul, Afghanistan. – Gambar EPA, 25 Disember, 2017.

PENYERANG bunuh diri bertindak meletupkan diri berhampiran kawasan milik agensi perisikan Afghanistan di Kabul pada Isnin, membunuh enam orang awam, kata pihak berkuasa.

Serangan itu berlaku ketika pekerja mula tiba di pejabat mereka. Kejadian itu berlaku seminggu selepas serangan militan di pusat latihan Direktorat Keselamatan Negara (NDS) di ibu negara itu. 

Jurucakap kementerian dalam negeri Najib Danish memberitahu AFP, enam orang awam terbunuh selepas penyerang bertindak meletupkan diri. 

“Enam orang maut dan tiga lagi cedera,” kata Danish. 

“Mereka terkena serangan itu ketika melintasi kawasan berkenaan dengan menaiki kenderaan sedan Toyota mereka, Kami masih tidak dapat pastikan sasara sebenar serangan berkenaan tetapi ia berlaku di jalan utama.”

Wartawan AFP yang berada di lokasi berkata, serangan itu berlaku di luar pintu masuk utama ke kawasan NDS. Kawasan berkenaan dipenuhi anggota keselamatan yang bertindak menutup laluan utama ke bangunan berkenaan. 

“Maklumat awal yang kami terima menunjukkan letupan itu berlaku berhampiran ibu pejabat perisikan di kejiranan Shash Darak,” kata jurucakap timbalan menteri dalam negeri Nasrat Rahimi kepada AFP. – AFP, 25 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen