Antara gelombang dan gelembong filem Malaysia


Haris Hauzah

TAHUN 2020 telah selamat kita tinggalkan. Sementara pawagam terus bergelut mengembalikan semula penonton ke layar lebar dengan merombak strategi operasi dan ada juga yang terpaksa menghentikan operasi, dunia perfileman kita tetap terus sunyi, diam dan hambar.

Tidak ada gelombang filem Malaysia baru ala French New Wave era 1950-an seperti yang pernah orang perkatakan. Tiada kemunculan sosok seperti Godard, Rivette, Truffaut atau Bazin yang tumbuh wujud dalam industri perfileman tempatan sebagai Syed Alwi, Rahim Razali, Nasir Jani atau U-Wei Saari.

Mungkin tidak akan ada peluang lagi untuk kita menonton filem seperti Tok Perak, Seman atau Johnny Bikin Filem. Itulah filem-filem yang mampu menginspirasikan suatu jalan kebangkitan pada perfileman tempatan. Atau mungkin masih terlalu jauh untuk kita kembali dapat menyaksikan filem-filem berani ala Jalan Pintas, Mualaf, Budak Kelantan, Songlap, One Two Jaga atau Bunohan.

Kita menutup tirai arena perfileman tahun 2020 tanpa adanya tanda gelombang kebangkitan. Tanpa ada sebarang tanda-tanda perubahan dan pembaharuan. Sebaliknya yang ada pada tahun 2021 hanyalah gelembong industri untuk filem kembali merancakkan semula ekonomi.

Cassius Longinus dalam bukunya On The Sublime menegaskan bahawa karya kreatif seperti filem harus memiliki pemikiran, falsafah dan persoalan. Dalam bukunya yang dipadatkan dengan dasar lengkap berkenaan disiplin sesebuah karya terbaik, beliau memerikan  sebuah karya baik itu adalah karya yang kekal kukuh dan kuat setelah diuji oleh zaman.

Justeru dalam memenuhi perihal kualiti yang disebut oleh Longinus, tentunya pemilihan subjek dalam penghasilan sesebuah karya filem harus benar.

Biar apapun pemilihan genre, gaya penceritaan dan pendekatan yang mahu digunakan dalam memberi nilai tambah pada filem yang dihasilkan, subjek yang dipilih haruslah bermain dengan hal-hal kemanusiaan dan isu kesejagatan masyarakat seperti agama, sejarah, politik dan sosial.

Namun sering kita saksikan subjek-subjek sebegini dijauhi dalam filem-filem tempatan. Amat jarang filem-filem tempatan berani mengangkat dan mengutarakan subjek-subjek sedemikian.

Seandainya kita renung dan cuba fahami sejarah situasi dan keadaan dunia perfileman tempatan, baik pada zaman sebelum atau selepas Perang Dunia Kedua, biar sewaktu pangkalan industri filem kita masih di Singapura mahupun selepas berpindah ke Kuala Lumpur, jatuh bangun industri ini hanya akan bergelut tentang dua hal: penghasilan filem dan usaha mendapatkan perhatian penontonan.

Akan tetapi ada satu lagi sisi penting yang kita sampingkan. Hal ini tidak begitu berminat untuk kita singkap dan sungguh-sungguh difahami industri termasuklah oleh Finas sendiri.

Pada peringkat awal industi perfileman iaitu sebelum kedatangan Jepun atas sebab penaklukan peperangan, perfileman bermula sebagai suatu usaha pelaburan besar-besaran. Seniman dan pembikin filem luar negara dari India dan China seperti S.M Chisty, B.S Rajhans, Ho Ah Loke dan adik beradik Run Run serta Runme Shaw yang menubuhkan Shaw Brothers mula menghasilkan filem.

Keterlibatan antara seniman dan -saudagar penerbit ini banyak dibantu oleh pendedahan karyawan filem tempatan yang sebelum itu biasa dengan filem-filem terbitan negara luar. Hal itu turut dibantu oleh status Singapura yang berperanan sebagai hab ekonomi perdagangan yang membolehkan Singapura jadi pusat pengedaran dan penerbitan filem serantau.

Sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi filem-filem dari India, China, Mesir dan Amerika Syarikat malah Indonesia telah banyak membanjiri pawagam negara ini. Melalui filem-filem inilah karyawan tempatan kita mengambil ilham, menjadikan rujukan dan mengadaptasi untuk menghasilkan karya filem yang beridentiti tempatan.

Sejak itu industri perfileman negara kita meningkat naik dan terus mengalami perkembangan. Kemajuan industri perfileman dan kecanggihan dalam selera penghasilan filem pada waktu itu disebabkan oleh faktor kestabilan politik dan ekonomi rakyat yang mendorong masyarakat ke panggung memberikan sokongan. Selebihnya, kejayaan filem-filem yang dihasilkan pengarah tempatan yang memiliki identiti sendiri yang penonton rasa dekat pada jati diri akar masyarakat setempat.

Hal inilah yang selalu disampingkan dan banyak kali diabaikan dalam karya-karya filem tempatan.

Tidak lain dan tidak bukan, perkara ini terjadi akibat industri ini tidak dibangun secara berstruktur dan bersistematik. Telefilem yang dijual kepada stesen TV dengan wang modal yang dilaburkan tidak sejajar dengan zaman. Malah soal harga dan upah yang diguna pakai dalam industri ini amatlah ketinggalan.

Dalam satu aspek ia memperlihatkan betapa rendahnya tahap keseriusan pembikin filem kita dalam hal-hal penghasilan, sekali gus menjejaskan keinginan dan semangat. Lantas,  mereka lebih gemar menghasilkan filem-filem pop yang lebih memberikan keuntungan.

Akibat kegagalan Finas membangunkan filem, negara ini kerugian apabila filem hanya dianggap hiburan. Kebanyakan filem tempatan dianggap produk culas dan murahan.

Tatkala negara jiran kita Singapura memiliki arkib filem yang menyimpan jati diri bangsa dan negara mereka sebagai khazanah seni yang mahal, kita masih sibuk dengan pencalonan Oscar untuk dibangga-banggakan.

Sementara negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia meninggalkan kita dari aspek-aspek ketelitian pembikinan dan kualiti penghasilan, Finas sibuk mengangkat Mail Totey The Movie ke tengah masyarakat untuk dijadikan contoh tauladan.

Tidak ada gelombang filem Malaysia baru buat masa ini selepas tahun 2020 kita lepaskan.

Tidak ada Perempuan, Isteri dan…, Abang atau Kembara Seniman Jalanan yang mampu kembalikan nuansa identiti filem nasional seandainya gelembong industri kali ini tidak dimanfaatkan. – 1 Januari, 2021.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen