Harapan 2021: Tahun kebangkitan


2020 melabuhkan tirainya. Yang pasti, 2020 bukanlah tahun cemerlang seperti yang pernah kita rancang dan bayangkan.

Ia bukan tahun kita menyaksikan kereta terbang. Tetapi tahun, kereta pun tidak berjalan. Ia bukan tahun kita mencatat pertumbuhan ekonomi terbaik. Tetapi tahun dengan rekod pendapatan dan pelaburan terburuk.

Ia bukan tahun Malaysia melihat kematangan demokrasi dan perpaduan berada di puncak. Tetapi tahun yang menyaksikan kejatuhan kerajaan, drama politik dan pergeseran yang berterusan.

Benar, 2020 bukan tahun terbaik untuk kita semua. Tetapi, ia tidak harus kita biarkan berlalu tanpa sebarang muhasabah dan pengajaran.

Sebenarnya, 2020 turut meminjamkan kebaikan dan hikmah yang besar. Tahun ini menyaksikan kita sebagai sebuah bangsa, berpadu menghadapi musuh kecil yang tidak kelihatan. Tahun ini menyaksikan segenap pelosok negara bekerja keras dan berkorban demi kelangsungan hidup dan kemandirian negara.

Tahun ini membongkar kekurangan dan kelompangan dalam masyarakat kita. Dan pada tahun ini jugalah membuktikan yang kita semua bersedia melakukan pelbagai perubahan rutin demi menghidupkan norma baharu.

Semua ini adalah lambang kekuatan dan kesediaan kita untuk berubah demi menjadi lebih selamat, lebih berketahanan dan lebih baik.

Marilah kita menuju 2021 dengan menggarap segala kekuatan yang ada untuk terus bertahan dan bangkit kembali. Bangkit sebagai bangsa yang tidak lentur dengan dugaan, bangkit sebagai bangsa yang bersatu, bangkit untuk bersama-sama menjadi lebih baik, insyaAllah.

Selamat Tahun Baharu 2021. – 1 Januari, 2021.


* Mohamed Khaled Nordin merupakan Naib Presiden Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen