Isa masih belum dipanggil polis, sedia beri kerjasama 


Bekas pengerusi Felda Isa Samad menafikan dakwaan beliau cuba melarikan diri daripada media selepas beliau dilaporkan gagal dikesan di kediamannya di Senawang, Negeri Sembilan. – GGambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2017.

ISA Samad masih belum dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung skandal pemindahan milik tanah Felda di Jalan Semarak bernilai RM270 juta, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai masalah dan akan memberikan kerjasama jika dipanggil polis untuk memberi keterangan.

“Polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) panggil nanti saya akan datang, kena kerjasama. Tapi setakat ini belum lagi (dipanggil polis).

“Tan Sri Shahrir (Pengerusi Felda) pun dah lapor polis, jadi biar polis siasat,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim sebelum ini berkata polis sudah membentuk sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes pemindahan hak milik tanah milik Felda yang diragui.

Kata beliau, polis sedang mengumpulkan bukti dan keterangan sebelum mengambil tindakan lanjut, termasuk kemungkinan memanggil Isa untuk membantu siasatan.

Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki juga sebelum ini berkata tiada unsur rasuah dalam pemindahan hak milik tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu.

Isa bagaimanapun enggan mengulaskan lanjut isu pemindahan hak milik tanah itu kerana tidak mahu ia jadi polemik politik.

Isa ditemui pemberita dalam satu majlis di Port Dickson malam tadi.

Bekas pengerusi Felda itu turut memberitahu wartawan beliau tidak melarikan diri daripada media sebaliknya menghadiri seperti biasa program yang diatur di beberapa daerah di Negeri Sembilan.

Harian Metro semalam melaporkan Isa gagal dikesan di kediamannya di Senawang, Seremban kerana difahamkan sudah berpindah. Menurut jiran-jiranya, Isa berpindah dari rumah itu dua tahun lalu.

Transaksi pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak yang bernilai RM270 juta kepada syarikat Synergy Prominade Sdn Bhd berlaku ketika Isa menjadi pengerusi Felda sejak 2011 hingga awal Januari 2017.

Isa juga merupakan pengarah bukan eksekutif Felda Investment Corporation (FIC) pada 2013 sehingga 2017.

Beliau meletak jawatan sebagai pengerusi Felda pada Jun lalu sebelum dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). – 25 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen