Mesyuarat bahagian Umno dijangka tumpu masalah dengan Bersatu


Mohd Farhan Darwis Kamles Kumar

Mesyuarat Umno peringkat bahagian akan berlangsung bermula esok selepas ditangguhkan beberapa kali susulan penularan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2021.

ISU kelangsungan Umno dan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dijangka menjadi isu utama yang akan dibangkitkan perwakilan dalam mesyuarat bahagian hujung minggu ini.

Pemimpin parti antaranya bekas menteri Umno Ahmad Shabery Cheek melihat sentimen tidak gembira di kalangan akar umbi terhadap kerjasama politik dengan komponen PN menjelang mesyuarat.

“Sentimen akar umbi agak negatif… Kesefahaman antara kedua-dua pihak makin berkurangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin pula menjangka, perwakilan akan membangkitkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan bantuan kepada rakyat yang terjejas dengan pandemik.

“Saya percaya semua bahagian akan mengambil peluang untuk menyuarakan pandangan dan pendirian mereka termasuk cabaran berkenaan kesan pandemik,” katanya.

Bekas menteri besar Johor itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada ia akan diutarakan dalam mesyuarat bahagian Pasir Gudang yang dipimpinnya.

Mesyuarat melibatkan 191 bahagian Umno itu merupakan perhimpunan agung pertama yang akan berlangsung sejak parti itu menyertai kerajaan semula dalam PN pada Mac 2020.

Sejak itu juga hubungan dengan Bersatu menjadi tegang dan kian makin memuncak apabila Umno mendakwa mereka dipinggirkan dalam kerajaan.

Bekas menteri Umno Ahmad Shabery Cheek melihat sentimen tidak gembira di kalangan akar umbi Umno terhadap kerjasama politik dengan komponen PN.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2021.

Mesyuarat bermula Sabtu hingga Isnin itu bakal berlangsung sewaktu timbul desakan dalam Umno untuk memikirkan semula hubungan dengan Bersatu dan PN.

Pada masa sama, Umno juga mendesak PAS membuat keputusan sama ada mahu bersama Muafakat Nasional (MN) atau PN pada PRU15 atau sebaliknya.

Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata ia bagi membolehkan parti itu menentukan kawasan untuk ditandingi kelak.

Jelasnya, ia bagi menentukan sama ada kawasan pilihan raya itu melibatkan kerjasama Umno dan PAS dalam MN, atau hanya kerjasama PAS dengan Bersatu dalam PN.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Mohd Razlan Raffi ketika bercakap kepada The Malaysian Insight tidak menolak isu kerjasama dengan Bersatu akan menjadi tumpuan utama mesyuarat.

Oleh itu, perbincangan dalam mesyuarat tersebut perlu mencari kaedah untuk membolehkan Umno terus menjadi dominan bagi membolehkannya kekal relevan kepada rakyat, katanya.

“Itu terpulang kepada perwakilan untuk membahas. Yang paling penting, Umno perlu fikir bagaimana untuk menjadi parti dominan dan relevan kepada rakyat.

“Perwakilan sering kali membangkitkan cadangan dan mereka akan teruskan gerakan untuk tumpuan PRU15.

“Saya percaya ahli akar umbi akan membawa usul serta berbahas kerjasama politik yang akan di meterai di dalam PRU15,” kata Razlan.

Umno juga mendesak PAS membuat keputusan sama ada mahu bersama Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional pada PRU15 atau sebaliknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2021.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar pucuk kepimpinan Umno berlapang dada dan mendengar suara akar umbi dalam mesyuarat itu.

“Pemimpin atasan Umno perlu mendengar dan terbuka kepada sebarang cadangan demi kelangsungan Umno,” kata Razlan lagi.

Sikap tersebut diakui seorang lagi pemimpin yang memberitahu The Malaysian Insight isu kerjasama dengan Bersatu itu antara kebimbangan utama akar umbi Umno pada waktu ini.

“Ahli Umno, terutamanya akar umbi tidak yakin dengan kerjasama bersama PN, lebih-lebih lagi Bersatu.

“Mereka rasa tidak senang dan mesyuarat ini dijangka akan menyaksikan beberapa usul diserahkan ke peringkat Bahagian,” katanya yang bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Sentimen sama diperhatikan Exco Pemuda Umno Bastien Onn, yang menjangka akar umbi akan menggunakan peluang dalam mesyuarat untuk menilai semula kedudukan parti berkenaan.

“Mereka akan menilai semula jalan terbaik yang akan mengukuhkan kedudukan Umno dalam apa jua bentuk kerjasama politik, pra atau pasca PRU15,” kata ketua Umno bahagian Segamat itu lagi.

Menurutnya, Pemuda Umno bahagiannya pula akan membawa isu calon muda berpotensi untuk mewakili mereka.

“Pemuda Segamat akan bawa isu calon muda untuk memberi keyakinan kepada pengundi muda yang akan mewakili mereka,” katanya.

Ahmad Shabery Cheek juga melihat, menjelang mesyuarat tersebut akar umbi Umno menunjukkan sentimen tidak gembira dengan kerjasama politik bersama komponen PN.

“Sentimen akar umbi agak negatif… Kesefahaman antara kedua-dua pihak makin berkurang,” katanya.

Mesyuarat Umno peringkat bahagian akan berlangsung bermula Sabtu selepas ditangguhkan beberapa kali susulan penularan wabak Covid-19. – 1 Januari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen