Penjajaran baharu pemikiran pimpinan politik Malaysia


MUTAKHIR ini ramai yang bercakap mengenai penjajaran baru politik negara. Ini berikutan berlakunya kecelaruan, pengkhianatan dan kesimpangsiuran watak-watak pemain politik tanah air yang membosankan. 

Menjelang sinar tahun baru 2021, wajar untuk semua pemain-pemain utama politik Malaysia untuk kembali ke landasan asal pembentukan negara bangsa Malaysia yang menjadi cita-cita luhur setiap warga yang rela berpayung di negara bertuah ini. 

Sebelum kita boleh bersetuju dengan seruan penjajaran semula politik bagi memacu urus tadbir negara, sudah sampai masanya pimpinan utama semua parti-parti politik bersedia dahulu untuk mengunjurkan penjajaran pemikiran politik kita demi melihat kepentingan rakyat dan negara benar-benar menjadi satu realiti bukan mimpi dan ilusi. 

Penjajaran politik baharu negara akan dapat mencapai maksudnya setelah pimpinan utama parti-parti politik bersedia terlebih dahulu untuk berubah pada paradigma baru dari aspek pemikiran, gagasan serta wawasan yang lebih segar dan kotemporari sifatnya. 

Maka dengan itu penjajaran pemikiran baru kepimpinan politik mestilah mampu menjadi “game changer” yang sifatnya bukan biasa-biasa atau mengulangi kebiasaan lama dan kuno yang pastinya kita sebagai rakyat dan negara tidak mampu pergi ke mana-mana. 

Penjajaran pemikiran baru ini sewajarnya berteraskan kepada agenda besar berikut:

a. Keupayaaan untuk meletakkan noktah kepada isu perkauman dan agama yang sempit lagi ekstrim sifatnya. Ini memerlukan iltizam politik yang tinggi daripada kepimpinan politik untuk duduk semeja mencari titik kebersamaan. 

Biarlah anak-anak bangsa Malaysia ini dalam jangka waktu sedekad akan merasakan negara ini adalah milik kita bersama dan redha jasad dan roh kita disemadikan ditanah tercinta ini. 

b. Anak-anak bangsa Malaysia akan dijamin dan terasa dilindungi oleh perlembagaan negara Hak-hak semua warga sentiasa diperkukuhkan. Negara benar-benar menjadi taman indah untuk anak-anak Malaysia bermain dengan naluri selamat dan sejahtera.

Tidak ada lagi pimpinan politik yang mempertaruhkan isu kaum dan agama sempit lagu ekstrim sebagai ranting zaitun atau talian hayat mereka. 

c. Kepimpinan politik negara bersedia untuk mempamerkan kemahiran dan seni politik masing dalam merealisasikan impian di atas. Satu Konvensyen Penjajaran Baru Pemikiran Politik Negara boleh dianjurkan demi mencapai maksud diatas. Podium ini boleh mencerna pemikiran, sikap, tingkah laku, pesona dan idea besar pimpinan politik untuk mencapai hasrat yang murni dan agong ini. 

Banyak kerajaan besar, dinasti, empayar serta tamadun yang dibina atas keberanian menggagaskan pemikiran besar dan dijajarkan orang politik yang berjiwa besar. 

Mungkin angin segar dan dingin dihujung Disember 2020 ini mampu terus bertiup sopan merentas bayu hangat Januari 2021 yang pastinya menjanjikan cabaran Malaysia yang sukar diduga. – 31 Disember, 2020.

* Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Amanah


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen