.jpg)
NAIB Presiden PAS Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata Muafakat Nasional (MN) tidak boleh didaftarkan sebagai gabungan politik sah dibawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Ironinya, Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan secara ‘ad hoc’ segera mendapat kelulusan RoS tanpa menunggu berbulan-bulan.
Perkara ini memberi gambaran jelas kepada rakyat, khususnya Melayu dan Islam, bahawa MN hanyalah satu retorik Umno dan PAS untuk memainkan sentimen perkauman dan agama selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Apabila mereka menjadi sebahagian kerajaan PN, agenda ‘penyatuan ummah’ yang dihebohkan tiba-tiba hilang dari ingatan.
Kegagalan MN sebenarnya lebih daripada soal tidak berjaya berdaftar dengan RoS. Setelah setahun penubuhan MN, gabungan ini masih gagal menubuhkan pentadbiran bersama di negeri-negeri di bawah kerajaan negeri mereka.
Sehingga hari ini, tiada sebarang rombakan exco negeri di Pahang, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang mempunyai acuan MN. Hakikatnya, MN tidak mempunyai model dan konsep pentadbiran bersama.
Gabungan politik ini hanya berpaksikan sentimen politik yang membangkitkan kemarahan orang Melayu dan Islam terhadap kerajaan pada masa itu.
Jika pemimpin MN sendiri gagal mentadbir bersama sehingga hari ini, apakah mereka mampu menyatukan ummah seperti yang dituntut mereka sebelum ini?
Hari ini, PAS dan Umno saling tembak-menembak. PAS umumkan penyertaan dalam PN. Umno pula masih dengan lagak ‘big brother’ tidak menyertai PN. Situasi ini menunjukkan PAS dan Umno sudah melupakan MN.
Dalam ungkapan mudah, MN sudah terkubur sebelum berjuang. MN sudah tersungkur awal sebelum PRU15 diadakan.
Gabungan longgar MN sudah berkecamuk dan penyertaan mereka dalam PN hanyalah usaha menyelamatkan kantung dan laba masing-masing selepas tewas PRU14. Bersatu sudah berjaya memikat PAS untuk bercerai dengan Umno. Parti keramat Umno kini kembali dengan pasangan lama BN.
PAS menjauhi Umno
Perkembangan politik hari ini menyaksikan PAS dan Parti Bersatu terus-menerus bersepakat menekan kemaraan Umno dalam PN.
Kesepakatan PAS-Bersatu bukanlah perakra baharu. Sebelum PRU14, Bersatu pernah cuba bekerjasama dengan PAS, menyertai Gagasan Sejahtera sebagai pilihan lain daripada Pakatan Harapan (PH).
Namun, kerjasama ini tidak berlaku kerana tawaran BN Kleptokrasi kepada PAS lebih lumayan jika dibandingkan Bersatu yang datang dengan tangan kosong. Persoalannya, mengapa PAS dilihat lunak bersama Bersatu sekarang?
PAS melihat kerjasama dengan Bersatu lebih mudah dan jelas berbanding Umno. Mereka sedar bahawa berkawan dengan Umno dalam MN hanya mendatangkan liabiliti kepada imej PAS. Kes rasuah pemimpin Umno yang berbakul-bakul tidak larat ditanggung PAS untuk dipertahankan pada PRU15.
Jika mereka masih meneruskan kerjasama dengan Umno, kekalahan teruk dalam PRU14 akan berulang.
PAS lebih selesa bekerjasama dengan pemimpin Bersatu yang pernah menjadi sahabat lamanya seperti Mohamed Azmin Ali yang begitu amat akrab dengan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).
Berbeza dengan Umno yang agak kritikal kepada Bersatu dan tidak mempunyai latar belakang sejarah bersama PAS sebagai sebuah gabungan dalam pilihan raya.
Oleh sebab itu, PAS dilihat menjauhi Umno. Tambahan pula, Bersatu banyak memberi ruang kepada PAS memenuhi jawatan di dalam kerajaan PN.
Umno pula tidak senang dengan perkembangan ini. Sikap ‘big brother’ yang menebal menjadi faktor utama mengapa PAS-Bersatu perlu mematahkan kemaraan Umno.
Dibawah kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi, Umno dilihat tidak mempunyai arah tuju yang jelas. Prseiden Umno itu tidak lagi menjadi ‘hero’ yang mempin Melayu kerana kuasa tersebut telah beralih kepada PAS dan Bersatu.
Penyertaan Umno membentuk PN juga bukti parti Melayu itu cakap tak serupa bikin. Umno sanggup menerima Bersatu yang ditudah mereka pengkhianat bangsa dan agama demi mendapatkan kuasa dan kedudukan dalam kerajaan.
Apa selepas ini?
MN bukanlah gabungan parti yang sah dan berupaya mengangkat agenda rakyat. Legasi yang mereka tinggalkan hanyalah kejayaan mereka menang dalam pilihan raya kecil selepas PRU14.
Terbukti dengan jelas MN hanyalah retorik politik yang hanya mengelirukan orang Melayu dan Islam. Segala masa, emosi dan sokongan yang diberikan penyokong MN akhirnya dikhinati sendiri oleh pemimpin Umno-PAS yang berpecah atas perebutan kuasa.
MN akan diingati rakyat sebagai sebuah gabungan parti politik Melayu yang tidak jujur dan mengkhianati mandat rakyat. Agenda ‘Penyatuan Ummah’ dan ‘Gagasan Melayu Raya’ hanyalah propaganda yang akhirnya memecah-belahkan rakyat sendiri.
Ada kos yang akan ditanggung politik Melayu selepas ini iaitu pertelingkahan antara Umno dan PN yang bakal berterusan pada PRU15. Berkemungkinan, akan berlaku pertindihan kerusi antara Umno dan gabungan PN di kerusi-kerusi Melayu.
PAS dilihat akan menjadi parti yang paling untung kerana mereka sekadar mempertahankan kerusi tradisi yang dimenangi pada PRU14.
Perebutan kerusi Parlimen akan lebih besar di antara Umno dan Bersatu yang dilihat cuba mendominasi kerusi-kerusi yang mereka tandingi pada PRU14.
Situasi ini menyaksikan persaingan politik di kerusi parlimen majoriti Melayu akan bertambah sengit. Mungkin akan berlaku lebih daripada pertembungan tiga penjuru sekiranya Umno bertanding sendiri menentang PN dan parti pembangkang seperti PKR, Amanah, Warisan dan Pejuang.
Perpecahan undi Melayu akan menjadi ‘norma baharu’ dalam politik Malaysia. Tidak akan ada satu parti berteraskan Melayu mendapat undi penuh dan tetap daripada pengundi Melayu seperti pilihan raya terdahulu.
Keadaan ini akan menambah citra warna dalam persepsi politik beridentitikan Melayu dan Islam di Malaysia yang selama ini masih lagi bercirikan politik lama dan tidak mengalami banyak perubahan. – 31 Disember, 2020.
* Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen