Pelajar Universiti Xiamen tertekan sekatan ketat


Hailey Chung Wee Kye

Pelajar antarabangsa di Universiti Xiamen Malaysia hanya dibenarkan keluar selama dua jam, dua kali dalam seminggu sejak PKPP bermula untuk membeli barang keperluan. – Gambar Facebook, 1 Januari, 2021.

PELAJAR antarabangsa Universiti Xiamen Malaysia mengeluh dengan sekatan ketat di kampus yang bertujuan mengekang Covid-19 sejak Mac, dan berdepan kemungkinan diusir jika ingkar dengan peraturan ditetapkan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight beberapa pelajar disenarai hitam kerana ingkar, sementara yang lain mengambil risiko menyelinap keluar dari kampus untuk melakukan urusan harian.

Sebilangan besar pelajar di universiti swasta antarabangsa ini mendapat biasiswa, dan setuju bercakap dengan The Malaysian Insight dengan syarat tidak mahu dikenali.

“Mereka tidak akan membenarkan kami keluar. Jika ingkar, maka kami tidak boleh pulang semula ke kampus. Setiap bulan, beberapa pelajar mengadu kekurangan makanan, kesihatan mental, atau keadaan kecemasan.

“Kami terkurung di sini walaupun negara ini beroperasi hampir normal,” kata seorang pelajar.

Jurucakap pelajar, Akasiwa Imanga Wamunyima, 23, berkata ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dimulakan pada Mac, dasar universiti boleh diterima.

“Kami diberitahu agar tidak keluar dari kampus dan menjaga penjarakan sosial.

“Ketika keadaan mulai longgar di luar kampus, kami masih mengekalkan sekatan yang sama seperti sebelum ini.

“Akhirnya semasa PKP pemulihan, kami hanya dibenarkan keluar selama dua jam, dua kali dalam seminggu,” kata Akasiwa yang menamatkan kursus asasnya pada September dan kembali ke Zambia.

Namun katanya, para pelajar mendapati tempoh singkat selama dua jam tidak mencukupi untuk mereka membeli barangan keperluan.

“Apa yang dapat kami buat dalam masa dua jam? Hampir mustahil untuk menyudahkan semua urusan pembelian kami dengan terpaksa beratur panjang.

“Apabila kami terlebih masa dua jam, mereka berkata, ‘Kami akan senarai hitam anda, kami akan melarang anda dengan keluar seminggu sekali sahaja, atau tidak dapat keluar selama dua minggu, atau 30 hari berikutnya’,” kata Akasiwa.

Beberapa pelajar meninggalkan kawasan kampus dengan bersembunyi di dalam but kereta dan apabila pulang, mereka ditangkap dan dimarahi.

Pada masa ini, peraturan sekatan penuh dilaksanakan dengan PKP bersyarat.

“Dengan sekatan sepenuhnya, kami memperoleh bekalan makanan dari pasar mini dan harganya lebih mahal berbanding pasar raya besar.

“Masih ada kantin dan gerai makanan, dan kami boleh memesan daripada FoodPanda atau Grab Delivery,” kata seorang pelajar.

Susulan aduan tersebut, universiti mula memberi mereka makanan dan bahan keperluan percuma bagi sekali penebusan.

Diam kerana takut

Akasiwa berkata kebimbangan utamanya adalah terpaksa berada dalam suasana tidak sihat dan keadaan mentalnya bertambah baik ketika berada di rumah.

“Pengalaman berkurung tidak menyenangkan. Ia hampir seperti kami menjalani kuarantin. Ia sebenarnya pergerakan terhad, bukan sekatan yang melarang sepenuhnya pergerakan kami.”  – 1 Januari, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen