POLIS Daerah Kota Samarahan kini giat menjejaki lima pekerja lelaki warga Indonesia, dua daripada mereka didapati positif Covid-19, yang melarikan diri di Jemukan Ulu, Asajaya kira-kira 40km dari Kuching sejak minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata dua yang positif Covid-19 dikenal pasti sebagai Harianto Safari, 41, dan Milhan Madi, 23, melarikan diri sejak 22 Disember lepas bersama dengan tiga lagi iaitu Randi, 30, Hamsar, 27, serta Rija Riansyah Tan Rabudin, 29.
“Siasatan awal mendapati mereka diupah untuk membersihkan kawasan ladang di Sadong Land District, Jemukan Ulu, Asajaya telah disaring pada 21 Disember namun pada 22 Disember, kelima-lima warga Indonesia tersebut melarikan diri dari tempat tinggal pekerja,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata keputusan ujian saringan yang mengesahkan dua daripada pekerja terbabit positif Covid-19 dimaklumkan kepada majikan mereka oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Daerah Samarahan pada 23 Disember.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan memohon kerjasama semua pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan perkara tersebut untuk menghubungi talian 082-662101 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Syukri Jasni di talian 011-6564 3820,” katanya. – Bernama, 30 Disember, 2020.
Komen