Niat baik, tapi silap cara punca pembaziran makanan


Angie Tan

Penderma berhati mulia tetapi kurang pengalaman menyebabkan makanan diagihkan pada golongan miskin, akhirnya terbuang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2020.

NIAT baik tetapi berlaku kesilapan cara oleh rakyat Malaysia dalam usaha memberi makanan kepada golongan miskin, membawa kepada masalah baharu iaitu pembaziran makanan, kata organisasi amal.

Walaupun bagus apabila ramai individu dan kumpulan mulai bertindak membantu golongan kurang bernasib baik sepanjang pandemik itu, kekurangan pengalaman menyebabkan makanan terbazir, kata mereka.

Ketika lawatan ke sebuah pusat kutipan di ibu kota baru-baru ini, Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran mendapati lebih separuh daripada makanan disumbangkan dibuang kerana penerima hanya mengambil apa yang mereka suka dan meninggalkan selebihnya.

Pengerusi kumpulan amal Yuan Meng Selangor dan Kuala Lumpur Jully Yap Ooi Lee berkata kebanyakan penderma tidak faham “keperluan sebenar” atau bagaimana cara untuk bertemu golongan memerlukan.

“Mereka biarkan penerima pilih dan ambil, yang akhirnya menyebabkan pembaziran,” katanya.

Penderma yang mahu mengagihkan makanan kepada golongan miskin perlu sedar tentang sensitiviti agama dan sifat manusia sebelum mengubah suai elemen itu dalam sumbangan mereka, kata Yap.

Beliau berkata sebagai contoh mereka boleh membawa barangan halal yang boleh diterima semua orang.

“Dan bagus untuk beri roti dan biskut supaya penerima boleh simpan untuk makan kemudian bila mereka lapar lagi,” katanya.

Yap mencadangkan penderma yang baik hati ini supaya beralih perhatian daripada rumah perlindungan gelandangan di ibu kota yang sudah pun banyak menerima sumbangan, kepada golongan miskin di kampung baharu Cina dan kawasan perumahan kos rendah di bandar.

Penderma yang mahu beri makanan kepada golongan miskin perlu sedar tentang sensitiviti agama dan ubah suai elemen itu dalam sumbangan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 31 Disember, 2020.

“Di pusat perlindungan atau rumah perlindungan gelandangan, ada ramai individu yang mengagihkan makanan. Akan berlaku lebihan bekalan jika terlalu ramai penderma.

“Jika tidak terlalu ramai penderma, penerima tidak akan buang makanan kerana mereka takut akan lapar nanti.”

Yap berkata berdasarkan pemerhatiannya selama bertahun-tahun menunjukkan 20% penerima tidak menghabiskan makanan mereka atau membuangnya.

Beliau berkata kekurangan sistem untuk pelbagai kumpulan saling berkomunikasi dan koordinasi usaha agihan makanan mereka, menyebabkan berlaku pertindihan penghantaran makanan.

“Ada ramai orang memerlukan bantuan tetapi setiap kumpulan buat hal sendiri. Tidak ada cara untuk saling bertukar maklumat bagi mengelakkan pertembungan.”

Makanan tidak dibazirkan

Pengasas Pertubuhan Kebajikan Shan Xin Wong Ing Tong berkata ahli Parlimen biasanya berunding dengan mereka bila program pengagihan makanan dirancang di kawasan mereka.

“Wakil rakyat tahu kawasan mereka dan lebih faham penduduk di situ,” katanya.

Setiap kotak makanan dirancang dengan memikirkan apa yang penerima mahukan, bagi mengelak kerugian dan pembaziran,” katanya.

Sukarelawan di kumpulan kebajikan Yuan Meng Selangor dan Kuala Lumpur Low Kwan Yim berkata setiap penerima dilarang mengambil dua bahagian untuk diri sendiri.

“Jika mereka kata ada ahli keluarga lain yang perlukan makanan, kami akan minta alamat dan hantar sendiri makanan itu.

“Ini bagi memastikan tiada makanan dibazirkan. Menerusi penghantaran itu, kami juga dapat tahu jika mereka memerlukan bantuan lain,” katanya.

Beliau juga bersetuju kemurahan hati perlu dilaksanakan dengan cara berhemah ketika membantu golongan yang memerlukan.

“Menderma tanpa pengetahuan boleh menyebabkan pembaziran. Seseorang itu perlu faham situasi dan keperluan penerima,” katanya. – 31 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen