DENGAN bantuan The Asli Co, sebuah perusahaan sosial yang bertumpukan kepada penjanaan pendapatan bagi masayarakat Orang Asli, kaum wanita suku Mah Meri di Selangor mampu meraih pendapatan tetap ketika pandemik Covid-19.
Misi The Asli Co adalah untuk memperkasakan golongan wanita Orang Asli menjana pendapatan mampan melalui latihan kemahiran untuk menghasilkan produk buatan tangan yang mesra alam.
Sejak Jun lalu, The Asli Co yang diasaskan oleh Jason Wee dan Lim Xin Yu membantu wanita Orang Asli Mah Meri di Kg Sungai Bumbun di Pulau Carey, Selangor meraih pendapatan ketika pandemik Covid-19 dengan memberi latihan menghasilkan pelitup muka.
Sehingga kini wanita Mah Meri telah menghasilkan 6,000 pelitup muka guna semula untuk dijual, dan 1,000 daripadanya diedarkan kepada masyarakat Orang Asli itu di Pulau Carey.
Menurut Lim, selain boleh dibasuh dan diguna semula, pelitup muka tiga lapis yang mereka hasilkan memenuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Kira-kira 10 juta pelitup muka pakai buang dilaporkan dibuang setiap hari di Malaysia.
“Kita akan terus memakai pelitup muka di masa depan. Ketika ini kita boleh lihat banyak pelitup muka dibuang merata-rata.
“Kami perlu cari jalan penyelesaian lestari yang juga lebih efektif untuk menghalang penyebaran rembesan cecair,” katanya.
Di samping itu juga, golongan wanita Mah Meri dapat meraih pendapatan, tambah Lim.
Selain suku Mah Meri, The Asli Co juga membantu golongan wanita di Kg Orang Asli Serendah dan Kg Orang Asli Ulu Kuang, juga di Selangor, dengan melatih mereka membuat sabun, pembersih tangan dan pasu kitar semula.
Semua inisiatif The Asli Co adalah atas kesedaran untuk memelihara alam sekitar, selain menambah kemahiran masyarakat Orang Asli.
Selepas ini, pengasasnya bercadang untuk menghasilkan tuala wanita yang boleh diguna semula.
Semua prosuk yang dihasilkan oleh wanita Orang Asli boleh dibeli melalui laman web The Orang Asli Co. – 30 Disember, 2020.
Komen