Pelabuhan Klang beroperasi 24 jam elak kesesakan mulai minggu depan


Bernard Saw

Pihak pengurusan pelabuhan dan peruncit akan bekerjasama selepas mesyuarat bersama Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memutuskan keputusan tersebut pada Isnin lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2020.

PELABUHAN Klang akan beroperasi 24 jam sepanjang dua minggu mulai minggu depan bagi mengatasi kesesakan disebabkan kelewatan dan pelepasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam)  selain tunggakan kontena, kata pemain industri.

Bagi tujuan itu, pihak pengurusan pelabuhan dan peruncit akan bekerjasama selepas mesyuarat bersama Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memutuskan keputusan tersebut pada Isnin lalu.

Naib Presiden Persatuan Peruncit Malaysia Mydin Ameer Ali Mydin berkata keputusan tersebut adalah penyelesaian terbaik bagi mengatasi keadaan semasa.

“Kita semua bersetuju untuk bekerja 24 jam selama tujuh hari dalam tempoh dua minggu ke depan, dan ini termasuk Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Kastam, penyedia perkhidmatan pengangkutan dan pengimport,” kata Ameer kepada The Malaysian Insight .

Pengarah Urusan Mydin Mohamad Holdings itu berkata, persatuan peruncit berharap kerajaan dapat membantu menyegerakan pelepasan Kastam dan menyelesaikan masalah berkaitan kesesakan tersebut.

“Bagus menteri adakan mesyuarat kerana setiap orang mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza mengenai masalah kesesakan,” katanya.

Dalam satu kenyataan minggu lalu, Pelabuhan Klang berkata ia mengalami kesesakan kerana kapal dan kontena tersekat setelah berdepaan penundaan di pelabuhan-pelabuhan sebelumnya.

Pengurus Besar Pelabuhan Klang (PKA) Kapten K. Subramaniam berkata, kesesakan itu mempengaruhi dua terminal pelabuhan, Northport dan Westport selain situasi serupa turut berlaku di pelabuhan utama lain di rantau ini.

Ameer berkata, dalam mesyuarat bersama menteri tersebut, ramai yang bersetuju bahawa situasi pasaran global telah menyumbang kepada masalah yang turut diburukkan oleh kekurangan komunikasi dan kerjasama antara pihak berkuasa pelabuhan, Maqis dan syarikat pengangkutan.

“Namun, setelah pertemuan itu, kami melihat masih ada harapan kerana semua orang setuju untuk bekerjasama dan membincangkan bagaimana pelepasan kontena dapat disegerakan pihak Maqis.”

Ameer turut berkata, Maqis juga tidak boleh dipersalahkan ekoran keadaan tersebut.

“Ini, pertama sekali, masalah pelabuhan. Pelabuhan belum dapat punggah barang dengan cepat, menyebabkan kapal terpaksa beratur di pelabuhan.

“Pihak berkuasa pelabuhan mengatakan bahawa mereka akan cuba yang terbaik. Pendapat saya, yang terbaik bagi mereka itu belum cukup baik,” katanya.

Beliau menambah bahawa Maqis mempunyai tunggakan kontena yang belum diperiksa, namun ia berjanji untuk menyediakan lebih banyak sumber manusia bagi meningkatkan jumlah pemeriksaan harian dari 100 kontena ke 200 kontena.

Menurut beliau lagi, pihak berkuasa pelabuhan juga akan menubuhkan kumpulan kerja yang terdiri daripada sektor swasta bagi membincangkan bagaimana penyelesaian untuk menyegerakan pemeriksaan Kastam.

“Ini juga merangkumi tahap yang berbeza kerana tidak hanya melibatkan pelabuhan tetapi juga pengangkutan dan pengimport.”

Presiden Persatuan Pemandu Kontena & Kargo Selangor Tony Chia berkata, faktor luaran telah menimbulkan masalah tersebut namun Malaysia hanya dapat menyelesaikan masalah dalaman.

“Pada masa ini, pandemik Covid-19 masih jejaskan seluruh dunia. Seluruh persekitaran dan rantaian bekalan juga terjejas, termasuk hubungan kapal global.

“Kekurangan kontena di negara lain seperti China dan peningkatan jangkitan Covid-19 di Eropah menyebabkan kekurangan kontena dan harga naik,” katanya.

Chia berkata, ini adalah masalah luaran yang sukar diselesaikan oleh Malaysia.

Beliau turut menambah bahawa tidak mungkin membiarkan semua kontainer melewati kastam secara secara rawak pada satu masa kerana masalah kesesakan tersebut kerana penyelarasan dan pemeriksaan masih perlu dilaksanakan.

Menurutnya lagi, setelah Maqis memunggah barangan, pemain industri harus segera memindahkannya keluar dari pelabuhan.

Chia juga berkata peruncit tidak boleh menyalahkan Kastam dan Maqis, kerana jumlah kontena juga turut meningkat di pelabuhan itu.

Pengimport buah-buahan dan sayur-sayuran telah mengadu bahawa proses pelepasan Kastam yang sebelum ini hanya memakan waktu sekitar dua hari, telah tertunda selama seminggu.

Ini mengakibatkan kelewatan penghantaran kepada pemborong, peruncit dan pengguna.

Peruncit juga berkata masalah itu wujud selama dua hingga tiga bulan, namun masih belum dapat diselesaikan. Oleh itu, mereka bimbang jika jumlah import meningkat dengan musim perayaan Tahun Baru Cina yang semakin hampir. – 30 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen